Kejayaan Malaysia menguruskan ekonomi selepas merdeka diakui Bank Dunia | Madani News

Kejayaan Malaysia menguruskan ekonomi selepas merdeka diakui Bank Dunia

Kejayaan Malaysia menguruskan ekonomi selepas merdeka diakui Bank Dunia

Kita semua berada dalam ‘mood’ sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 dan Hari Malaysia pada 16 September 2025 tidak lama lagi. Kedua-duanya sangat signifikan dengan semangat nasionalisme dan patriotik negara kita yang menjadi asas pembinaan negara bangsa untuk melangkah ke hadapan. 

Tahun ini, perayaan disambut dalam keadaan negara jiran, Indonesia sedang dilanda rusuhan kebangkitan rakyat yang marah dengan pemerintah. Kita juga baru menyaksikan perubahan kepimpinan negara di Thailand. 

Nampaknya, Malaysia masih mengekalkan keamanan dan keselamatan walaupun ada juga pihak yang pernah cuba melakukan provokasi sedemikian sejak tahun 1998 tetapi ia tidaklah sampai pada tahap apa yang terjadi di Indonesia dan negara jiran lain. Malah sebahagian pemimpin politik yang terlibat dalam provokasi tersebut pun sudah menjadi kerajaan yang memerintah Malaysia hari ini.

Selepas berjaya menuntut kemerdekaan, pemimpin dan rakyat berhempas pulas mengisi kemerdekaan dalam usaha membangunkan bangsa dengan cara dan kuasa tersendiri. 

Cabaran bukan mudah kerana Tanah Melayu yang kemudiannya membentuk Malaysia penuh dengan kepelbagaian dan perbezaan sama ada dari segi kaum, agama dan etnik. Kesemuanya mengharapkan keadilan dan memiliki  kemahuan masing-masing, adakalanya sukar untuk dikawal dan dipenuhi.

Bagaimanapun berjaya  membuktikan kemampuan mentadbir dan mengurus negara dengan baik, adil dan saksama walaupun sering dikritik seolah-olah tidak berlaku adil kepada sesetengah pihak, termasuk daripada negara asing yang cuba mencampuri urusan negara ini.

Sejak 15 tahun lalu penulis menjadi rakan strategik kerajaan bagi membangunkan miskin tegar di Labuan.

 Saya menyifatkan apa yang kita capai adalah melalui ‘Dasar Ala Malaysia’ atau ‘Cara Malaysia’ atau ‘Resepi Malaysia’ iaitu satu keadaan bersifat dinamik demi memelihara keamanan, kesejahteraan dan keharmonian kaum di tanah air ini.

Baru-baru ini  Pakar Ekonomi Bank Dunia, Apurva Sanghi dalam satu kenyataan menegaskan, terdapat tiga kejayaan utama Malaysia yang dianggap  ‘kejayaan yang tidak didendang’ dan patut dibanggakan iaitu membasmi kemiskinan, kepelbagaian sumber ekonomi dan menerajui standard halal dunia.

Paling menarik ialah bagaimana Malaysia berjaya mengeluarkan separuh rakyatnya daripada kemiskinan  iaitu seramai 14 juta orang selepas kemerdekaan dalam tempoh 68 tahun. 

Menurut Apurva, selepas Tanah Melayu merdeka pada tahun 1957, hampir separuh rakyatnya berada dalam garis kemiskinan tetapi kini hanya tinggal 4 orang daripada setiap 100 orang rakyat Malaysia yang dikatakan miskin. Beliau menganggap kadar sifar yang disasarkan dengan usaha berterusan dan kejayaan sebelum ini adalah amat luar biasa.

Antara kesannya juga ialah pembasmian setinggan yang dianggap cemerlang dan usaha membasmi kemiskinan dikatakan mengatasi dasar negara seperti Singapura.

Kepelbagaian ekonomi Malaysia juga menjadi teras kemakmuran rakyat yang tidak terikat kepada satu-satu komoditi eksport. Tidak ketinggalan kemampuan Malaysia menerajui pensijilan halal antarabangsa yang diakui di peringkat global.

Sebagai anak merdeka hari ini, kita wajar melihat pandangan pakar Bank Dunia ini sebagai kejayaan pemimpin negara menerajui dan mentadbir dengan baik sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj menjadi Perdana Menteri  yang pertama. Begitu juga jentera kerajaan yang menjadi penggerak dalam mengisi kemerdekaan negara.

Pendekatan basmi kemiskinan pelbagai kaum membolehkan Magenthiren a/l Buchia antara yang memperolehi
pendapatan tinggi hasil bimbingan IGROW.

Ini juga membuktikan keupayaan pemimpin Melayu yang menaungi pemerintahan seperti Raja-Raja Melayu, Perdana Menteri dan Menteri-Menteri Melayu (turut berkongsi kuasa dengan pemimpin bukan Melayu)  yang berupaya mengimbangi kesejahteraan rakyat berbilang kaum bagi membawa negara menuju ke hadapan dengan cemerlang.

Kita juga harus belajar dengan kehebatan pemimpin terdahulu mentadbir negara pada era masing-masing dan keperluan ketika itu. Enam perkara yang menjadi kunci kepimpinan Malaysia berkesan iaitu kesedaran tinggi, pengorbanan besar, kebijaksanaan mentadbir,keikhlasan, keberanian  dan jangkauan melihat ke hadapan.

Nasib bangsa dan penindasan penjajah memberi kesedaran kepada pemimpin terdahulu untuk membela rakyat. Kesedaran tanpa pengorbanan tidak akan ke mana. Generasi terdahulu berkorban jiwa dan raga untuk mengisi kemerdekaan – satu semangat yang sukar ditemui lagi hari ini.

Tanpa kebijaksanaan, ekonomi Malaysia tidak akan mencipta kemakmuran seperti hari ini kerana pemimpin bijak bukan sahaja dapat mencari jalan penyelesaian kepada ekonomi negara tetapi juga bijak dalam mencaturkan kestabilan politik negara.

Keberanian akan wujud jika kita tahu kuasa dan batas kuasa yang ada. Contohnya dalam menjayakan Dasar Ekonomi Baru atau DEB suatu masa dulu terutama selepas tragedi 13 Mei 1969, bagi saya adalah dasar berani untuk menangani ketidakseimbangan ekonomi antara kaum. Pelaksanaannya telah dikritik hebat sesetengah pihak sehingga  sampai pada tahap dianggap gagal sama sekali.

Maka kejayaan ekonomi hari ini terutama mengeluarkan kita daripada belenggu kemiskinan telah disumbangkan juga oleh faktor DEB.

Semua kejayaan yang dinyatakan oleh Bank Dunia itu adalah lambang keikhlasan tinggi pemimpin walaupun masing-masing mempunyai kelemahan sebagai manusia biasa.  Jangkauan pemimpin seperti Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein melihat masa depan ekonomi negara melalui penubuhan Felda dan komoditi kelapa sawit yang menjadi komoditi eksport utama negara hari ini menjadikan beliau  diangkat sebagai antara pemimpin berfikiran jauh.

Alhamdullillah, tiada pemimpin digulingkan secara radikal atas dasar ekonomi yang dilihat  wujudnya jurang antara pemimpin dan rakyat seperti yang terjadi kepada pemimpin jiran Ferdinand Marcos dan tumbangnya banyak pemimpin ASEAN lain akibat krisis kewangan 1997.

Perakuan Bank Dunia adalah bukti kemampuan pemimpin terdahulu khususnya pemimpin Melayu mengisi kemerdekaan negara dengan nilai ekonomi sebagai teras kemakmuran. 

Adakah pemimpin hari ini mampu melakukan reformasi yang lebih baik dan berkesan? Mereka perlu membuktikannya dan berhati-hati pada zaman media sosial ini kerana apa yang terjadi di Indonesia adalah tindak balas rakyat yang melihat jurang antara pemimpin dan rakyat serta janji reformasi ketika pilihanraya yang tidak dikotakan.

Saya tidak nampak media arus perdana memberi publisiti yang besar terhadap pandangan Bank Dunia tersebut  kerana zaman selepas merdeka,  umumnya mengetahui, ia adalah era parti yang dominan  pada masa itu. Kita perlu terbuka menerima  fakta dan memahami  hakikat supaya ia boleh ddijadikan rujukan terbaik membawa negara ke masa hadapan tanpa mempunyai prejudis kepada mana-mana pihak.

Saya bersyukur kerana diberi peluang menjadi rakan strategik kerajaan membangunkan golongan miskin tegar lebih 15 tahun hingga kini. Itulah sebabnya saya menerbitkan video menceritakan kejayaan ikon miskin tegar kami  yang dijejaki di seluruh negara selepas 10 tahun.

 Ia bertujuan menjadikan mereka sebagai model membebaskan diri daripada penjajahan kemiskinan melalui siri video bertajuk “Merdeka daripada kemiskinan” yang boleh dilayari di laman web dan facebook IGROW Perak.

Selamat Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025. Malaysia Madani : Rakyat Disantuni.

*Penulis adalah usahawan dan aktivis sosio-ekonomi.