Kematian Zara Qairina cetus kebangkitan luar biasa rakyat Sabah | Madani News

Kematian Zara Qairina cetus kebangkitan luar biasa rakyat Sabah

Kematian Zara Qairina cetus kebangkitan luar biasa rakyat Sabah
Pesuruhjaya Pas Sabah Datuk Dr.Aliakbar Gulasan ketika mengadakan sidang media di Parlimen.

‘’Kebangkitan rakyat dalam isu itu juga mencerminkan imej perpaduan di Sabah, apabila pelbagai pihak bangkit bersama tanpa mengira latar belakang agama atau politik.’’ – Pesuruhjaya Pas Sabah Datuk Dr.Aliakbar Gulasan.

KEMATIAN pelajar tingkatan satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir telah mencetuskan kebangkitan luar biasa rakyat Sabah sehingga ia dianggap satu sejarah kepada negeri itu.

 Pesuruhjaya PAS Negeri Sabah, Datuk Dr Aliakbar Gulasan walaupun kes itu bersifat kemanusiaan, ia turut menjadi isu rakyat Sabah berikutan kebangkitan luar biasa yang berlaku sejak kebelakangan ini.

“Kebangkitan rakyat Sabah ini satu sejarah kerana sebelum ini tidak ada kebangkitan yang luar biasa. Saya jangkakan kebangkitan ini akan berterusan kalau kerajaan tidak cepat menangani persoalan-persoalan yang berlaku dan menyelesaikan beberapa isu dengan segera.

“Sekarang semakin banyak isu di media sosial, dan ia bergerak semakin laju, jadi kita kena berhati-hati,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini lapor Harakahdaily.net

Dr Aliakbar berkata, suasana di Sabah kini tidak begitu tenang, lebih-lebih lagi apabila kubur arwah Zara terpaksa digali semula, satu kejadian yang jarang berlaku.

Katanya, pihak berkuasa, kerajaan dan agensi penyiasatan perlu memberi kenyataan yang benar-benar meyakinkan rakyat.

Beliau turut menegaskan keperluan ketelusan sepenuhnya dalam siasatan, termasuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didakwa menyembunyikan maklumat, sama ada pentadbir sekolah, pihak keselamatan atau kementerian.

“Kalau memang pentadbir sekolah menyembunyikan sesuatu, ambil tindakan pada pentadbir sekolah. Kalau pihak keselamatan yang menyembunyikan sesuatu, kerajaan kena tegas untuk ambil tindakan.

“Hatta kalau misalnya kementerian atau menteri-menteri yang menyembunyikan sesuatu,” kata.

Beliau berkata, rakyat Sabah mengharapkan isu itu diselesaikan segera kerana jika tidak, ia dibimbangi akan mencetuskan kebangkitan rakyat yang luar biasa.

‘’Kebangkitan rakyat dalam isu itu juga mencerminkan imej perpaduan di Sabah, apabila pelbagai pihak bangkit bersama tanpa mengira latar belakang agama atau politik.

“Walaupun Zara beragama Islam, yang bangun ini semua komuniti, politik, NGO dan sebagainya. Ini simbol kesatuan, dan saya yakin bila rakyat bangkit, itu tandanya mereka mahukan jawapan yang besar,” katanya.