Kerana sangka mesej scam, Najwa Shihab terlepas undangan perkahwinan Luna Maya

PENGACARA dan aktivis media sosial terkenal, Najwa Shihab, mendedahkan pernah menjadi mangsa penipuan melalui mesej dan panggilan telefon sehingga kini lebih berhati-hati menerima komunikasi daripada nombor tidak dikenali.
Namun, langkah berjaga-jaga itu mengundang insiden lucu apabila beliau tidak sengaja mengabaikan undangan perkahwinan pelakon terkenal, Luna Maya, yang diadakan di Jakarta baru-baru ini.
“Baru-baru ini saya dapat undangan daripada Luna. Disebabkan ia datang daripada nombor tidak dikenali dan mengandungi pautan, saya tidak endahkan. Saya fikir Luna sudah berkahwin di Bali,” katanya dipetik portal Kompas.
Najwa kemudian menerima mesej peribadi daripada Luna yang bertanya sama ada beliau sudah menerima undangan tersebut atau tidak. Ketika itulah Najwa menyedari jemputan itu sebenarnya sahih.
Pasangan selebriti Luna Maya dan Maxime Bouttier mengadakan majlis resepsi mewah di Hotel Four Seasons, Jakarta pada 30 Julai lalu, selepas selamat disatukan pada 7 Mei dalam majlis pernikahan di Bali, Indonesia. – MADANI NEWS