Liga Arab bersidang tapi tiada hasil… ketegasan Malaysia jauh lebih baik

KETIKA ini rakyat Palestin kebuluran, setiap hari rakyat Palestin dibunuh, setiap masa di Gaza sejak 670 hari lalu, rejim Israel melakukan pembunuhan paling kejam yang pernah disaksikan dalam era moden tetapi apa dunia lakukan, tiada apa-apa yang signifikan dibuat.
Akhirnya, Israel yang diketuai Benjamin Netanyahu – sebagai penjenayah antarabangsa – terus bermaharajalela dengan restu Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. Atas sebab itulah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagaikan sekadar wujud dengan nama dan bangunannya yang ‘gah’ sahaja.
Mereka tidak ada kuasa menghentikan kekejaman Israel sehingga negara itu boleh dianggap negara paling berkuasa dunia, lebih hebat dari Amerika Syarikat dan lebih berkuasa daripada PBB.
Bagaimanakah pula negara Arab? Hari ini Majlis Liga Arab dijadual mengadakan sesi luar biasa pada peringkat perwakilan tetap. Sesi dipengerusikan oleh Jordan itu akan membincangkan cara menangani jenayah pendudukan Israel di Semenanjung Gaza.
Selain itu, ia akan mengkaji mekanisme pada peringkat Arab dan antarabangsa untuk menangani jenayah berkenaan, menghalang ia daripada berterusan, serta mendakwa pelakunya di hadapan mekanisme keadilan antarabangsa, lapor agensi berita.
Soalnya adakah selama ini Liga Arab tidak pernah mengkaji mekanisme untuk menangani jenayah kependudukan Israel di Semenanjung Gaza? Kenapa baru sekarang mahu mencari mekanisme menghalang keganasan Israel sedangkan ia telah mengakibatkan lebih 192,000 rakyat Palestin terbunuh dan cedera, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak?
Benar kata Wakil Tetap Palestin ke Liga Arab, Muhannad Al-Aklouk, dalam satu kenyataan berkata Majlis Liga Arab dijadualkan bersidang atas permintaan Palestin dan dengan sokongan negara anggota tetapi apakah hasilnya?
Setakat bersidang untuk mengutuk, kalau setakat bersidang untuk mengecam, kalau setakat bersidang untuk memberi amaran apatah lagi menyeru Israel berhenti melakukan jenayahnya…ia hanya buang masa. Israel tidak pernah mempedulikan apa pun yang dikatakan oleh negara lain terhadap mereka.
Apatah lagi apabila terbentuk Deklarasi New York yang mengenakan syarat kepada Palestin untuk berunding sedangkan sepatutnya Israel yang harus diberikan perintah menghentikan penjajahan mereka tanpa syarat.
Berdasarkan hakikat itulah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan ketegasan Malaysia apabila menyifatkan Deklarasi New York yang mengenakan syarat kepada Palestin untuk berunding, sedangkan kekejaman masih berlaku setiap hari, adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan bercanggah dengan prinsip kemanusiaan serta dasar luar Malaysia.
“Pendirian kita jelas, hentikan keganasan, genosid, pembunuhan, dan penjajahan terhadap Palestin. Tiada rundingan sebelum itu. Mana boleh kita runding dengan orang yang setiap hari datang ke rumah, bunuh anak dan isteri, kemudian minta kita berbincang dan mengiktiraf mereka? Itu tidak masuk akal dan mustahil berlaku,”, tegasnya.
Inilah sikap yang sepatutnya ditunjukkan Liga Arab dalam menangani isu Palestin, ia jauh lebih baik daripada asyik bermesyuarat dan bersidang tetapi hasilnya sekelumit pun tidak menjejaskan Israel.
Sebaliknya mereka terus menjajah Palestin, membunuh dan menghancurkan Gaza sehancur-hancurnya. Israel yang mempunyai 9.9 juta penduduk tahu Liga Arab yang kesemuanya berjumlah 22 buah negara dan mempunyai 470 juta hingga 500 juta penduduk tidak boleh melakukan apa-apa kepada mereka.
Atas sebab itulah umat Islam tidak perlulah menaruh harapan besar apabila mendengar berita Liga Arab akan bersidang kerana ia tidak akan berupaya melawan kuasa Israel apatah lagi menghentikan kekejaman di Gaza ketika ini.
Apabila bermesyuarat berakhir kesemua pemimpin Liga Arab akan kembali ke negara masing-masing selepas menikmati nasi Arab berlauk kambing golek manakala Israel pula meneruskan agenda jiwa kebinatangan’ mereka membunuh rakyat Palestin, membiarkan rakyat Palestin kebuluran dan menghancurkan Gaza dan dunia hanya menjadi penonton!