Mahkamah dapati Saifuddin bersalah fitnah Sanusi, diarah bayar RM670,000 | Madani News

Mahkamah dapati Saifuddin bersalah fitnah Sanusi, diarah bayar RM670,000

Mahkamah dapati Saifuddin bersalah fitnah Sanusi, diarah bayar RM670,000

MAHKAMAH Tinggi di Alor Setar, hari ini mendapati Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bersalah memfitnah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, pada 2023.

Tuduhan itu berkait dakwaan Muhammad Sanusi mencuri unsur nadir bumi (REE) dan penyelewengan wang peruntukan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

Berikutan itu, Hakim Dr John Lee Kien How @ Mohamad Johan Lee memerintahkan Saifuddin membayar ganti rugi am berjumlah RM600,000 dan kos RM70,000 kepada Muhammad Sanusi.

Dalam keputusannya, hakim memaklumkan mahkamah membenarkan tuntutan Muhamamd Sanusi selaku plaintif secara khusus ke atas kenyataan REE dan MARRIS yang dikeluarkan Saifuddin selaku defendan.

“Mahkamah mendapati perkataan ‘pencuri’ memberikan impak jenayah ke atas kenyataan itu. Keseluruhan kenyataan itu bermula dengan imej operasi polis yang berterusan untuk menangkap pelaku kecurian REE.

“Mahkamah mendapati kenyataan MARRIS merujuk kepada plaintif. Maksud memfitnah frasa ‘menyalahi semua tata kelola kewangan kerajaan’ dengan jelas mengimputasikan plaintif melakukan salah urus kewangan yang, di mana defendan menguatkan perkara itu dengan memetik Ketua Audit Negara dalam kenyataannya,” katanya, memetik laporan BH Online.

Muhammad Sanusi diwakili peguam Wan Rohimi Wan Daud, Yusfarizal Yussof, Mohd Faizi Che Abu dan Nur Iffah Hizwani Omar, manakala defendan diwakili peguam Navpreet Singh, William Leong dan Sakina Siraj.

Mahkamah turut menetapkan defendan membuat permohonan maaf yang diterbitkan dalam sebuah akhbar bahasa Melayu dan sebuah akhbar bahasa Inggeris dalam tempoh 14 hari.

Selain itu, terma permohonan maaf juga perlu dimuat naik di akhbar utama dan perlu mendapat kelulusan daripada Muhammad Sanusi terlebih dahulu.

Mahkamah turut mengekalkan perintah injuksi melarang defendan atau ejennya mengulang kenyataan berkaitan dakwaan mencuri REE dan penyelewengan wang peruntukkan MARRIS.

Pada 3 Ogos 2023, Muhammad Sanusi memfailkan saman terhadap Saifuddin kerana mendakwa Menteri Dalam Negeri itu memfitnahnya mencuri REE di Kedah dan menyeleweng peruntukkan MARRIS.

Melalui pernyataan tuntutannya, Muhammad Sanusi berkata, Saifuddin ketika menyampaikan ceramah pada 15 Julai 2023, mengeluarkan kata-kata fitnah yang menuduhnya selaku Menteri Besar dan Menteri Besar Incorporated (MBI) mencuri REE di Kampung Chong, Sik yang mendapat liputan luas media.

Muhammad Sanusi berkata, Saifuddin pada majlis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada 14 Julai 2023, mengeluarkan kata-kata fitnah yang menuduhnya menyalahgunakan peruntukan MARRIS. – MADANI NEWS