Pas tiada masalah bekerjasama…apakah MCA-MIC akan sertai Perikatan Nasional? | Madani News

Pas tiada masalah bekerjasama…apakah MCA-MIC akan sertai Perikatan Nasional?

Pas tiada masalah bekerjasama…apakah MCA-MIC akan sertai Perikatan Nasional?
KERJASAMA parti-parti Barisan Nasional semakin goyah sejak menyertai kerajaan Madani.

KETIKA desas-desus berhubung kedudukan MCA dan MIC dalam Barisan Nasional (BN) makin panas diperkatakan, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin secara terbuka menyatakan parti itu tidak ada masalah bekerjasama dengan kedua-dua komponen BN tersebut.

Kenyataan Hashim seperti mana dilaporkan oleh Utusan Malaysia sudah pasti menghangatkan lagi spekulasi bahawa MCA, MIC akan meninggalkan BN dalam tempoh beberapa bulan lagi.

Ketika Madaninews.online bertanya dengan beberapa sumber mengenai perkara itu, mereka juga mengakui bahawa tidak mustahil MCA,MIC akan bergabung bersama Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU-16 akan datang.

‘’ Bukan rahsia lagi pemimpin kedua-dua parti memang tidak berpuashati dengan layanan yang diterima sejak BN menjadi kerajaan bersama PKR,DAP dan Amanah. UMNO dikatakan lebih berat kepada PH berbanding menjaga hati MCA,MIC,’’ kata satu sumber.

Dikatakan MCA,MIC juga tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan Pas seperti mana Pas juga tidak ada masalah bekerjasama dengan kedua-dua parti itu.

Atas sebab itulah Hashim menyatakan, Pas secara dasarnya tidak mempunyai masalah menjalin kerjasama itu dengan pelbagai parti kecuali DAP.

“Ke arah kerjasama tersebut menjadi kenyataan bagaimana memerlukan perbincangan lebih lanjut di peringkat tertinggi kepemimpinan. Lagipun PN terbuka menerima parti-parti lain bagi mengukuhkan lagi kerjasama untuk menghadapi PRU16 akan datang,’’ katanya.

Sumber tu mendakwa, kepimpinan UMNO lebih cenderung untuk memperkukuhkan kerjasama dengan PH berbanding memperkuatkan kembali BN.

‘’Sementara MCA kecewa dengan sikap kepimpinan UMNO, pemimpin MIC merasakan parti itu tidak dihargai apabila tidak diberi sebarang jawatan dalam kerajaan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC) walaupun mempunyai pemimpin kanan,’’ kata sumbe itu.

 Jika MCA dan MIC menyertai PN, ia sudah pasti mengukuhkan lagi gabungan tersebut memandangkan kedua-dua parti itu tetap mempunyai pengaruh dalam kalangan pengundi Cina dan India.

‘’Jangan pandang rendah kepada MCA, MIC, mungkin bersama PN, mereka lebih beruntung memandangkan tempias pengundi tidak berpuashati dengan Kerajaan Perpaduan dan pemimpin UMNO semakin jelas kebelakangan ini,’’ kata sumber berkenaan.

Namun begitu Pas seperti mana kata Hashim tetap menolak  untuk bersama Kerajaan Perpaduan walaupun ditawar jawatan Timbalan Perdana Menteri.

“Kita tidak akan masuk (kerajaan Perpaduan) selagi DAP ada. Kita sudah banyak pengalaman bersama DAP sebelum ini. Bagaimanapun, kerjasama dengan UMNO masih terbuka dan kita tidak pernah menutup pintu rundingan ke arah perpaduan ini,” kata Hashim.

Bagaimanapun seandainya benarlah MCA dan MIC meninggalkan BN, ia merupakan satu tamparan kepada Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi. Selepas gagal memimpin BN bangkit semula dalam PRU-15 dengan mencatatkan perolehan kerusi paling rendah dalam sejarah BN, kini dua parti dalam BN pula mahu ‘angkat kaki’. 

Kalau itu berlaku kedudukan politik Ahmad Zahid tergugat. Mungkin akan bahagian-bahagian UMNO atau pemimpin UMNO sendiri yang akan mendesak beliau berundur dari kerusi Presiden.