Pemilihan PAS: Takiyuddin kekal keputusan tidak bertanding

SETIAUSAHA Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata beliau kekal tidak akan bertanding bagi sebarang jawatan pada pemilihan parti pada September depan.
Menghargai pencalonan bagi jawatan ahli jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata beliau telah 10 tahun tidak bertanding dan akan menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab sekiranya dilantik.
“Saya sangat berterima kasih kepada akar umbi yang mencalonkan nama saya dalam pemilihan ini.
“Bagaimanapun, saya menegaskan bahawa besar kemungkinan 99.9% saya tidak akan bertanding,” katanya menurut Berita Harian selepas satu majlis di Kota Bharu.
Khamis lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat PAS Wan Rohimi Wan Daud mengesahkan Takiyuddin antara pemimpin PAS layak bertanding jawatan AJK pada pemilihan September depan, selepas menerima pencalonan mencukupi.
Ahli Parlimen Marang Tan Sri Abdul Hadi Awang menang tanpa bertanding jawatan presiden PAS bersama Timbalannya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang juga wakil rakyat Kubang Kerian.
Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah, Ahli Parlimen Bagan Serai Datuk Idris Ahmad, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Nor menerima pencalonan mencukupi bagi pemilihan naib presiden. – MADANI NEWS