Pendarahan kepala akibat dipukul benda tumpul punca kematian bayi

BEDAH siasat ke atas jenazah seorang bayi berusia setahun 11 bulan yang meninggal dunia pukul 2.05 petang semalam mendapati punca kematian disebabkan pendarahan dalam kepala akibat trauma dipukul benda tumpul.
Lanjutan itu polis menahan sepasang suami isteri kerana disyaki mendera bayi tersebut sehingga meninggal dunia dan hasil soal siasat mereka mengaku ada memukul mangsa menggunakan penyangkut baju.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pihaknya menerima laporan dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) berkaitan insiden itu pada 4.14 petang 6 Ogos lepas.
Beliau berkata mangsa yang merupakan anak bongsu daripada dua beradik dibawa ke HSNZ dalam keadaan tidak sedarkan diri kira-kira 1 tengah hari oleh kedua-dua suspek yang juga bapa kandung dan ibu tirinya.
“Suspek mendakwa pada 5 Ogos (Selasa) lepas mangsa mengalami bengkak di dahi setelah memanjat pagar penyekat pintu bilik dan terjatuh. Namun, mangsa kembali aktif dan bermain seperti biasa selepas dahinya dituam dengan ais oleh bapanya.
“Bagaimanapun kira-kira 12 tengah hari keesokan harinya (Rabu) ketika ingin memberikan susu, suspek (bapa mangsa) mendapati badan mangsa lemah dan lembik. Untuk mengelak terkena sawan, lelaki itu telah memberikan urutan di bahagian leher mangsa hingga menyebabkan kesan lebam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata pada mulanya suspek menghantar mangsa ke Klinik Kesihatan (KK) Manir untuk bantuan kecemasan, namun dirujuk ke HSNZ kerana keadaan kesihatannya yang kritikal.
Beliau berkata hasil pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati mangsa mengalami kecederaan otak selain lebam dan luka dipercayai akibat hentakan objek tumpul.
“Mangsa disahkan meninggal dunia pada 2.05 petang semalam. Bedah siasat mendapati punca kematian disebabkan pendarahan dalam kepala akibat trauma dipukul benda tumpul. Hasil soal siasat pula kedua-dua suspek mengaku ada memukul mangsa menggunakan penyangkut baju,” katanya.
Tambah beliau suspek lelaki yang berusia 27 dan wanita yang berumur 30 tahun itu ditahan kira-kira 10 malam tadi di Pusat Pengurusan Jenazah Rhu Muda, Marang, sejurus selesai proses pengebumjan.
Kedua-duanya direman tujuh hari bermula hari ini hingga Sabtu depan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Polis turut merampas sebatang pengangkut baju yang digunakan dalam kejadian itu. Seorang lagi anak suspek yang berusia tiga tahun diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya.