PN kecam  serangan ke atas anak Rafizi, anggap tanda perkembangan politik samseng | Madani News

PN kecam  serangan ke atas anak Rafizi, anggap tanda perkembangan politik samseng

PN kecam  serangan ke atas anak Rafizi, anggap tanda perkembangan politik samseng

‘Jika benar telahan ini, ia menandakan satu perkembangan politik samseng yang amat tidak sihat dan berbahaya kepada landskap demokrasi negara.” – Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan

PERIKATAN Nasional (PN) mengecam sekeras-kerasnya serangan yang dilaporkan berlaku ke atas anak bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli, semalam.

Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkat, kejadian yang berlaku di sebuah pusat beli belah di Putrajaya itu merupakan satu suatu perbuatan jenayah yang tidak boleh diterima sama sekali dalam sebuah negara yang bertamadun.

‘’PN mengambil maklum kenyataan Rafizi bahawa serangan itu merupakan suatu bentuk amaran kepadanya supaya tidak lagi bersuara lantang dalam beberapa isu tertentu.

‘’Jika benar telahan ini, ia menandakan satu perkembangan politik samseng yang amat tidak sihat dan berbahaya kepada landskap demokrasi negara. Perbezaan pandangan politik tidak seharusnya diterjemahkan kepada ancaman dan keganasan fizikal, apatah lagi apabila ia melibatkan kanak-kanak.,’’ katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, PN menggesa pihak polis agar menyiasat kejadian ini dengan kadar segera, telus dan menyeluruh.

‘’ Pelaku jenayah ini mesti dibawa ke muka pengadilan dan dikenakan tindakan undang-undang yang tegas sebagai isyarat jelas bahawa sebarang bentuk keganasan, terutama terhadap kanak-kanak, tidak mempunyai tempat di bumi Malaysia

Kata beliau, PN menzahirkan sokongan moral penuh kepada Rafizi dan keluarga dalam menghadapi saat yang sukar ini.

‘’Kami juga mendoakan agar anak beliau berada dalam keadaan baik dan pulihsepenuhnya daripada sebarang kesan dan trauma tersebut. Mudah-mudahan seluruh keluarga beliau diberikan ketabahan serta perlindungan oleh Allah SWT,’’ katanya.

Takiyudddin berkata, PN turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar sentiasa bertenang dan matang dalam menghadapi situasi ini. 

‘’Rakyat jangan sesekali terpengaruh dengan sebarang bentuk provokasi atau andaian yang mungkin sengaja dicetuskan untuk memecahbelahkan keharmonian masyarakat. Kestabilan dan keamanan negara ialah tanggungjawab kita bersama,’’ katanya.