Syabu RM6.3 juta dirampas di Terengganu, 6 lelaki edar dadah dihukum mati di Johor  | Madani News

Syabu RM6.3 juta dirampas di Terengganu, 6 lelaki edar dadah dihukum mati di Johor 

Syabu RM6.3 juta dirampas di Terengganu, 6 lelaki edar dadah dihukum mati di Johor 

POLIS berjaya merampas 198.9 kilogram (kg) syabu bernilai RM6.3 juta yang ditinggalkan dalam dua buah kenderaan di Felda Belara Kuala Teregganu pada 28 Julai lalu, selepas pemandunya melarikan diri daripada sekatan jalan raya.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata rampasan itu hasil Op Sekatan Jalan Bersepadu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Bahagian Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu di Sungai Ikan, laluan Kota Bharu-Kuala Terengganu pada kira-kira 5 petang.

Beliau berkata ketika operasi, pihak polis mendapati pemandu dua buah kereta, Mercedes-Benz dan Perodua Myvi telah membuat pusingan U secara mengejut sebelum melarikan diri ke arah Kota Bharu.

“Selepas mengejar dalam jarak lima kilometer, polis berjaya menemukan kereta berkenaan di hadapan rumah penduduk kampung di Felda Belara. 

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat tujuh kotak polistirena yang mengandungi 188 bungkusan berisi dadah yang cukup untuk kegunaan 995,550 penagih,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, lapor Bernama.

Mohd Khairi berkata siasatan awal mendapati dadah berkenaan dibawa masuk dari Kelantan untuk diedarkan ke pasaran luar Terengganu termasuk di Lembah Klang.

Beliau berkata pihak polis telah mengenal pasti pemilik kereta Perodua Myvi, namun masih mengesan dua suspek iaitu pemandu yang dipercayai warga tempatan.

“Polis belum dapat mengenal pasti pemilik kereta Mercedes-Benz kerana casis telah dirosakkan. 

“Kepada orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi talian hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Terengganu di talian 011-67351234,” katanya.

Mohd Khairi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

DI JOHOR BHARU:  Tiga lelaki dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis methamphetamine lebih satu tan yang disembunyikan dalam kontena di kolam ikan terbiar, enam tahun lalu.

Hakim Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman itu terhadap Pang Ming Siong, Cheng Foot Leong dan Tok Chun Wei selepas memutuskan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan, lapor Berita Harian.

“Dalam menentukan hukuman, mahkamah ini menimbangkan jumlah berat dadah berbahaya yang terbabit ialah 1,483,962.98g selain cara dadah diletak dalam peket ‘Guanyinwang’ dan dimasukkan dalam guni dan dijahit dengan tali rafia.

“Guni dadah disimpan dalam kontena di kawasan kolam ikan yang terbiar dan jauh dari jalan utama. Tindakan ini dilakukan untuk mengelirukan pihak berkuasa daripada mengesan aktiviti pengedaran dadah berbahaya.

“Berdasarkan alasan di atas, mahkamah ini menjatuhi hukuman gantung di leher sehingga mati atas semua tertuduh pada tarikh, masa dan tempat yang ditentukan kelak,” kata Abu Bakar.

Mengikut pertuduhan, Pang, 54, Cheng, 46, dan Tok, 41, didakwa mengedar lebih 1.48 tan methamphetamine di sebuah kolam ikan di Jalan Tanah Merah, Taman Desa Cemerlang kira-kira jam 7.30 pagi, 19 Mac 2019.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) ADB 1952 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati.

Timbalan Pendakwa Raya Lydia Salleh dalam hujahannya memaklumkan bahawa kes berkenaan adalah amat jarang berlaku kerana membabitkan jumlah dadah yang besar.

Peguam Muhammad Abd Kadir dan Khairul Nadia Hasni mewakili semua tertuduh.