Warden MRSM dalam kalangan bekas tentera, polis mula tugas Isnin ini

PENGERUSI Mara, Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki hari ini mengadakan pertemuan dengan kumpulan pertama warden-warden Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang terdiri daripada kalangan bekas polis dan tentera.
Katanya, beliau menyampaikan amanat sebelum mereka memulakan tugas di dua MRSM iaitu MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau bermula Isnin ini.
‘’Ini merupakan inisiatif terbaru Mara untuk memastikan isu buli dan kes-kes disiplin lain dapat dikekang disamping menjamin persekitaran pembelajaran di MRSM yang selamat dan sejahtera buat semua pelajar sebagaimana yang pernah saya sebut beberapa bulan lalu,’’ katanya melalui Facebook beliau.
Beliau berkata, warden-warden yang dipilih itu melalui siri-siri tapisan termasuk sesi temuramah komprehensif untuk memastikan pesara-pesara dalam kalangan anggota beruniform ini benar-benar memenuhi kriteria yang digariskan oleh Mara.
‘’Dalam amanat saya kepada mereka sebelum mereka memulakan tugasan minggu ini, antara lainnya saya mengingatkan bahawa “Asrama MRSM” ialah “Rumah kedua” anak-anak MRSM. Di sinilah mereka belajar tentang tertib dan adab hidup bermasyarakat, tentang mengurus masa, tentang amanah dan tanggungjawab,’’ katanya.
Justeru kata beliau, peranan warden bukan sekadar menjaga rutin harian; warden ialah pendidik watak ibu bapa kedua yang memastikan keselamatan terjaga, disiplin terbina, dan kasih sayang dibudayakan. Tiada toleransi terhadap salah laku, namun pendekatannya mendidik, memulih, dan adil.