Bersatu terbuka jika rakan-rakan dalam PN mahu calon lain sebagai PM - Tun Faisal | Madani News

Bersatu terbuka jika rakan-rakan dalam PN mahu calon lain sebagai PM – Tun Faisal

Bersatu terbuka jika rakan-rakan dalam PN mahu calon lain sebagai PM – Tun Faisal

BERSATU menegaskan parti itu tidak menghalang mana-mana komponen Perikatan Nasional (PN) untuk menamakan calon perdana menteri masing-masing, biarpun perhimpunan agungnya baru-baru ini sebulat suara mengangkat Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon utama.

Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, pencalonan Muhyiddin dibuat berdasarkan perlembagaan parti serta merit beliau sebagai ahli parlimen berpengalaman yang pernah membuktikan kepimpinan ketika pandemik Covid-19.

“Keputusan ini adalah hak ahli Bersatu melalui platform perhimpunan agung parti, bukannya PN. Justeru, ia wajar dihormati. Dalam masa sama, parti lain juga berhak melakukan perkara sama dalam muktamar atau perhimpunan agung masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.

Tun Faisal menambah, usul berkenaan akan dibawa ke Majlis Presiden PN untuk diputuskan secara konsensus.

Bagaimanapun, langkah Bersatu itu tidak mendapat sambutan positif daripada PAS. Pemimpin parti Islam itu sebelum ini, termasuk Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Tan Sri Annuar Musa, mengingatkan Bersatu agar memperbaiki imej dan dasar terlebih dahulu serta mempersiapkan barisan pelapis yang berintegriti.

Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin, juga pernah menegur Bersatu agar lebih berhati-hati dalam membuat pengumuman melibatkan PN dan memastikan ia melalui proses musyawarah.

Tun Faisal bagaimanapun menegaskan, Bersatu tidak pernah mencampuri urusan dalaman rakan gabungan lain, malah menghormati hak PAS, Gerakan dan MIPP untuk menentukan calon masing-masing.

“Seperti Bersatu, bawalah keputusan itu ke Majlis Presiden PN dan kita akan putuskan bersama secara konsensus,” katanya. – MADANI NEWS