Bridgestone ASEAN Amateur Open 2025 gegar Melaka buat julung kali

KEJOHANAN golf amatur terkemuka rantau ini, Bridgestone ASEAN Amateur Open 2025, mencipta sejarah apabila buat pertama kali singgah di Ayer Keroh Country Club (AKCC) dengan penyertaan 136 pemain.
Pertandingan sehari yang menggunakan format Stableford 18 lubang itu menjadi satu-satunya persinggahan kejohanan berprestij ini di Melaka musim ini, sekaligus menyerlahkan bakat tempatan dan serantau di kelab golf tertua di negeri bersejarah itu.
Memasuki edisi kesembilan, Bridgestone ASEAN Amateur Open terus mengukuhkan reputasinya sebagai siri golf amatur utama di Asia Tenggara. Penganjuran di Melaka bukan sahaja membuka ruang persaingan sihat, malah membuktikan minat mendalam komuniti golf di negeri ini.

“Kami amat gembira dapat membawa Bridgestone ASEAN Amateur Open ke Ayer Keroh buat kali pertama. Ini merupakan satu-satunya kejohanan kami di Melaka, dan sambutan hangat daripada pemain amat menggalakkan,” kata Pengarah Urusan Prestige Golf Sdn Bhd, Vasudevan Krishnan.
Sepanjang kejohanan, peserta bukan sahaja bersaing merebut lima hadiah eksklusif hole-in-one, malah turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah. Setiap pemain juga menerima beg cenderahati Bridgestone bernilai lebih RM500 yang mengandungi barangan premium termasuk pakaian, sarung tangan, topi dan bola golf Bridgestone Extra Soft.
Majlis penyampaian hadiah berlangsung meriah dengan kemenangan berpihak kepada Mohd Shah Rizal Md Jali yang muncul Juara Nett, manakala gelaran Juara Gross dimenangi Nuralif Mohd Zahari.
Selepas Melaka, siri kejohanan ini akan diteruskan di The Els Club Desaru Coast (Johor) pada 13 September, diikuti Kelab Rahman Putra Malaysia (Selangor) pada 19 September, dan Cinta Sayang Golf & Country Club (Kedah) pada 28 September. Siri akan menutup tirainya dengan Grand Final di Templer Park Country Club (Selangor) pada 31 Oktober 2025.
Untuk maklumat lanjut atau pendaftaran acara akan datang, orang ramai boleh melayari www.bridgestoneaseanamateur.com. – MADANI NEWS