Dua pertiga kes melibatkan ahli politik diklasifikasi NFA - Menteri | Madani News

Dua pertiga kes melibatkan ahli politik diklasifikasi NFA – Menteri

Dua pertiga kes melibatkan ahli politik diklasifikasi NFA – Menteri

DUA pertiga daripada kertas siasatan yang dibuka antara 2020 hingga Julai tahun ini berhubung kes jenayah melibatkan ahli politik telah diklasifikasikan sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA).

Memetik data daripada Jabatan Peguam Negara (AGC), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata 41 daripada 60 kes sedemikian telah diklasifikasikan sebagai NFA.

Bagaimanapun Azalina menegaskan pihak berkuasa mempunyai kuasa untuk menjalankan siasatan lanjut terhadap kes-kes tersebut sekiranya terdapat perubahan keadaan di masa akan datang.

Berbeza dengan kes sivil, katanya, kes jenayah tidak tertakluk pada had masa.

“Oleh itu, sekiranya ada perkembangan baru pada masa depan, siasatan dan semakan lanjut terhadap kes-kes ini masih boleh dibuat,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen semalam, lapor Malaysiakini.

Azalinamenjawab soalan daripada senator Hussin Ismail, yang meminta statistik serta butiran mengenai mekanisme atau garis panduan yang dilaksanakan bagi memastikan klasifikasi NFA tidak dipengaruhi oleh pertimbangan politik.

Dalam jawapannya, menteri itu memberi jaminan yang AGC meneliti secara menyeluruh semua bukti yang dikemukakan dalam kertas siasatan, tanpa mengambil kira latar belakang individu yang disiasat.

“Penelitian dibuat berdasarkan fakta, bukti dan undang-undang yang terpakai, dengan mengambil kira prinsip integriti, ketelusan dan kebebasan pendakwaan,” katanya lagi.

  • MADANI NEWS