Gempur Bukit Bintang, Imigresen tahan 770 PATI | Madani News

Gempur Bukit Bintang, Imigresen tahan 770 PATI

Gempur Bukit Bintang, Imigresen tahan 770 PATI

SERAMAI 770 pendatang asing tanpa izin (PATI) dicekup Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang menggempur kawasan sekitar Bukit Bintang dalam serbuan Op Belanja, malam tadi.

Serbuan oleh 106 pegawai dan anggota JIM Putrajaya yang bermula 7.30 malam itu turut membongkar kegiatan perjudian dalam talian yang menjadi lokasi warga asing berjudi.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan JIM, Basri Othman, berkata, Pati berusia antara 21 hingga 65 tahun itu ditahan susulan pemeriksaan terhadap 2,445 individu termasuk warga tempatan.

“Mereka yang ditahan membabitkan 762 lelaki dan lapan wanita, terdiri daripada 37 lelaki warga Bangladesh, lelaki Myanmar (235), lelaki Nepal (72), lelaki India (58), 17 lelaki dan dua wanita Indonesia, selain tiga lelaki dan enam wanita warga asing lain-lain.

“Kita menyerbu restoran, kedai dan rumah selepas menerima dua hingga tiga aduan dalam tempoh tiga minggu membabitkan kegiatan di kawasan ini sebelum operasi dilakukan,” katanya pada sidang media di lokasi, menurut Bernama.

Mengulas lanjut, Basri berkata, hasil pemeriksaan juga mendapati semua warga asing berkenaan tidak memiliki dokumen diri yang sah, tinggal melebihi masa dan menggunakan kad pengenalan yang tidak sah.

Katanya, semua yang ditahan dibawa ke pejabat JIM Putrajaya untuk saringan awal sebelum ditempatkan di depoh untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 15(4) dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya. – MADANI NEWS