Imbas kod QR untuk beli RON95 dan barang-barang bersubsidi – KPDN

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal melaksanakan sistem kawalan baharu menggunakan imbasan kod QR bagi pembelian barangan bersubsidi, termasuk petrol RON95.
Timbalan Menterinya, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata sistem berkenaan kini dalam fasa ujian sebelum dilaksanakan di seluruh negara. Langkah itu dijangka dapat mengatasi masalah ketirisan, terutama pembelian oleh warga asing yang tidak layak menikmati subsidi kerajaan.
“Kita sedar kebimbangan orang ramai adalah apabila warga asing turut mendapat akses kepada barang kawalan seperti minyak masak, gula, petrol dan lain-lain. Justeru sistem baharu ini dibangunkan bagi memastikan hanya mereka yang layak dapat menikmati harga subsidi,” katanya.
“Jadi apa yang kementerian sedang lakukan adalah membangunkan aplikasi Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) merangkumi semua rantaian termasuk pemborong, peruncit hingga kepada pengguna,” katanya semasa menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) mewakili KPDN di Dewan Negara, hari ini.
Menurut Dr Fuziah, setiap barang kawalan mempunyai cabaran tersendiri, namun penggunaan sistem digital berasaskan QR Code akan membantu kerajaan menambah baik mekanisme kawalan sedia ada.
Buat masa ini, katanya, bekalan gula masih mencukupi dan tidak menimbulkan masalah besar, tetapi pemantauan terhadap minyak masak peket bersubsidi serta RON95 akan diberi tumpuan utama. – MADANI NEWS