MyWATCH gesa kerajaan haramkan vape, e-rokok dan naikkan cukai rokok | Madani News

MyWATCH gesa kerajaan haramkan vape, e-rokok dan naikkan cukai rokok

MyWATCH gesa kerajaan haramkan vape, e-rokok dan naikkan cukai rokok
Gambar hiasan Internet

PERTUBUHAN Wanita Malaysia untuk Kawalan Tembakau dan Kesihatan (MyWATCH) mendesak kerajaan mengambil tindakan lebih tegas terhadap isu rokok elektronik, cukai tembakau dan penapis rokok yang didakwa mengancam kesihatan rakyat serta alam sekitar.

Presidennya, Roslizawati Md Ali, berkata penggunaan vape dan rokok elektronik semakin berleluasa di Malaysia walaupun bukti bahaya terhadap kesihatan semakin jelas.

“Rokok elektronik sama sekali tidak selamat. Ia menyebabkan ketagihan nikotin dalam kalangan remaja, penyakit paru-paru dan jantung, masalah pernafasan, kes keracunan, malah insiden letupan peranti. Produk ini juga disalahgunakan untuk menyalurkan dadah berbahaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, ketiadaan rangka kerja nasional yang kukuh telah menggagalkan usaha beberapa negeri mengawal penjualan produk berkenaan. Beliau menegaskan Malaysia tidak boleh ketinggalan berbanding negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Brunei yang sudah melaksanakan larangan menyeluruh.

“MyWATCH mendesak Kementerian Kesihatan supaya segera melaksanakan larangan total terhadap vape dan rokok elektronik. Tindakan separuh jalan hanya akan memanjangkan kerosakan serta memberi ruang kepada industri mengeksploitasi undang-undang,” katanya.

Selain isu vape, MyWATCH turut menyokong cadangan kerajaan menaikkan cukai tembakau dalam Belanjawan akan datang, dengan mencadangkan kadar 0.75 sen bagi setiap batang rokok.

“Cukai tembakau terbukti langkah paling efektif. Ia mengurangkan tabiat merokok, menyelamatkan nyawa dan menambah hasil kewangan negara. Malaysia kali terakhir menaikkan cukai rokok pada 2015, sedangkan WHO mewajibkan pelarasan berkala,” katanya.

Dalam pada itu, pertubuhan tersebut juga menggesa kerajaan melarang penggunaan penapis rokok yang disifatkan sebagai “tipu daya berbahaya”.

“MyWATCH menegaskan penapis rokok tidak mengurangkan toksin, sebaliknya mengekalkan ketagihan. Puntung rokok pula menjadi sisa plastik paling banyak di dunia yang mencemarkan alam sekitar dan sumber air,” katanya.

Sehubungan itu, MyWATCH mahu kerajaan menyokong larangan penapis rokok selaras rundingan Perjanjian Plastik antarabangsa, selain meningkatkan cukai dan memperkukuh pendidikan awam mengenai bahaya tembakau. – MADANI NEWS