P. Ramlee pemegang rekod tunggal anugerah ‘Bakat Serba Boleh’ lantaran ‘Ibu Mertuaku’


REZEKI tidak pernah salah alamat. Tuah manusia hanya Allah yang tahu. Setelah gagal merebut anugerah Pelakon Lelaki terbaik melalui filem ‘Ibu Mertua-ku’ pada Festival Filem Asia ke-10 di Tokyo, Jepun pada 14 hingga 19 April 1963, P. Ramlee memperoleh anugerah lebih berprestij.
Walau pun secara keseluruhan keputusan juri telah dimuktamad bagi beberapa kategori dipertandingkan, satu ketagori kemudian diwujudkan untuk memberi pengiktirafan khas kepada P. Ramlee, pelakon, pengarah dan penyanyi yang tidak asing lagi dalam dunia perfileman Melayu.
Pengkitirafan khas ini, Golden Harvest Award ‘Most Versatile Talent’ (Anugerah Bakat Serba Boleh), belum pernah diwujudkan sebelum itu, dan diberi khusus kepada P. Ramlee melalui ‘Ibu Mertua-ku’. Ini adalah kejutan dan penghargaan tinggi kepada P. Ramlee secara peribadi dan dunia perfileman Melayu amnya.
Festival Filem Asia merupakan sebuah festival filem paling berprestij di rantau Asia ketika itu. Kini ia dikenali sebagai Fesival Asia Pasifik. Festival pada April 1964 itu merupakan kali keempat bandar raya Tokyo jadi tuan rumah.
Mengimbau kisah P. Ramlee 62 tahun lalu itu, ia bermula dengan penyertaan delegasi karyawan filem mewakili dua studio utama ketika itu, Shaw’s Malay Film Poductions (MF) Jalan Ampas, Singapura dan Studio Cathay Keris East Coast Road, Singapura.
Seniman Agong P. Ramlee ialah wakil tunggal Shaw Brothers. Bagi Cathay keris, beberapa nama hebat menjadi anggota delegasi. Antaranya, pengarah Hussain Hanif, dan bintang utama Cathay Keris seperti Latifah Omar, Roseyatimah, Wahid Satay serta Rahmah Ali.
Senarai filem Melayu yang dipertandingkan pula ialah ‘Ibu Mertua-ku’ dan ‘Labu dan Labi’, kedua-duanya arahan dan lakonan P. Ramlee. Selain itu filem ‘Chuchu Datok Merah’ arahan M. Amin, ‘Masuk Angin Keluar Asap’ arahan Hussain Hanif dan filem dari Indonesia, ‘Bayangan di Waktu Fajar’ arahan Usmar Ismail.
P. Ramlee dicalonkan dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem ‘Ibu Mertua-ku’. Allahyarham bersaing dengan dua calon hebat, iaitu Kim Seung Ho dari Korea menerusi filem ‘Romance Gray’ dan aktor tersohor Jepun, Toshiro Mifune.
Apabila keputusan diumumkan, P. Ramlee dan Toshiro tewas. Para juri memilih Kim Seung Ho. P. Ramlee menerima kekalahan dengan tenang.
Walau pun P. Ramlee tewas, filem ‘Ibu Mertua-ku’ tidak pulang dengan tangan kosong. Ia berjaya membawa pulang trofi ‘Sinematografi Terbaik’ (Hitam Putih) menerusi hasil cemerlang garapan A. Bakar Ali.
Tanpa diduga, sesuatu yang luar biasa terjadi pada upacara penyampaian anugerah. P. Ramlee tidak menduga, para perwakilan juga tidak menduga. Salah seorang juri telah mengambil insiatif meneliti semula filem ‘Ibu Mertua-ku’ secara lebih mendalam.
Hasil penelitiannya, dia begitu kagum dengan kemampuan dan keterampilan P. Ramlee menjalankan pelbagai peranan menggarap filem tersebut. Dia bukan sahaja pengarah tetapi pelakon utama, penulis lakon layar, penyanyi dan penggubah muik.
Baginya ini kebolehan luar biasa di mana segala aspek utama pembikinan filem tersebut adalah hasil tangan P. Ramlee. Perkara tersebut sangat unik dalam sejarah perfileman Asia dan dunia ketika itu.
Lantas juri tersebut membangkitkan perkara berkenaan kepada panel juri lain. Ekoran itu, satu perbincangan khas segera diadakan. Walau pun pada awalnya ada perbezaan pendapat di kalangan juri, akhirnya mereka menemui titik persetujuan.
Seramai 12 juri Festival Filem Asia itu sebulat suara memberi satu anugerah pengiktirafan khas yang belum pernah diwujudkan sebelumnya, Golden Harvest Awar, Most Versatile Talent kepada P. Ramlee atas pencapaian luar biasa dalam pembikinan ‘Ibu Mertuaku’.
Sesungguhnya ia adalah anugerah kejutan yang tidak ada dalam senarai festival. Ketika pengumuman dibuat, semua di dalam dewan berdiri dan bertepuk tangan memberi penghormatan. Ini termasuk pengarah dan bintang terkenal Bollywood, Raj Kapoor.
Yang paling istimewa, Anugerah ‘Most Versatile Talent’ itu dianugerahkan hanya sekali dalam sejarah. Ia tidak pernah diwujudkan semula dalam mana-mana festival lain setelah itu. Maka rekod anugerah itu kekal dipegang oleh P. Ramee.
Ini adalah kejayaan dan penghormatan yang tetap terpahat dalam sejarah. Semuanya kerana sikap prihatin seorang juri yang arif menilai betapa hebatnya seorang insan seni melaksanakan pelbagai tugas, atau ‘multi tasking’, sehingga mampu menghasilkan sebuah filem bermutu. – MADANI NEWS