Pempengaruh media sosial ditahan guna platform terapung untuk pengambaran tanpa lesen

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Terengganu menahan dua buah bot dan sebuah platform terapung yang digunakan seorang pempengaruh media sosial untuk penggambaran, dalam satu operasi di perairan berhampiran Pulau Bidong, petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, bot berkenaan ditahan pada jarak kira-kira 16 batu nautika barat laut Kuala Terengganu sekitar jam 6 petang.
“Hasil pemeriksaan mendapati sebuah bot penumpang digunakan untuk menunda platform terapung bersama sebuah kereta di atasnya, manakala sebuah lagi bot yang mengiringi aktiviti itu beroperasi tanpa lesen sah daripada Jabatan Laut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menjelaskan platform terbabit dibina tanpa peralatan keselamatan, sekali gus berisiko mengancam nyawa apabila dijadikan lokasi penggambaran.
“Tindakan ini bukan sahaja melanggar undang-undang tetapi juga membahayakan kru, penumpang serta pengguna perairan lain,” tegasnya.
Menurut beliau, kedua-dua bot itu membawa seorang pempengaruh media sosial bersama kru dan penumpang berusia 21 hingga 32 tahun. Seramai enam kru termasuk nakhoda serta enam penumpang, kesemuanya warga tempatan, ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Negeri Terengganu sekitar jam 2 pagi untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana beroperasi tanpa lesen sah, melanggar syarat lesen dan melakukan aktiviti penundaan tanpa kebenaran.
Hamiludin menegaskan, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang maritim walaupun atas alasan kreativiti atau pelancongan.
“Maritim Malaysia menyokong usaha anak muda, namun ia mestilah mematuhi peraturan sedia ada demi keselamatan nyawa serta kelestarian sektor maritim negara,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti menyalahi undang-undang di perairan Terengganu diminta menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di 09-6224357. – MADANI NEWS