Umno Batu putus hubungan dengan PH WP, dakwa tidak dilayan adil

Kuala Lumpur – Umno Bahagian Batu memutuskan hubungan politik dengan Pakatan Harapan (PH) Wilayah Persekutuan selepas mendakwa tidak mendapat layanan adil dalam soal pengagihan kuota Majlis Perwakilan Penduduk (MPP).
Ketua Umno Bahagian Batu, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, berkata keputusan itu dibuat sebulat suara oleh biro politik bahagian beberapa minggu lalu selepas PH gagal menunaikan janji memberikan satu daripada enam sub-zon MPP kepada Umno, seperti yang dipersetujui sebelum ini.
“Satu zon itu patut bagi kepada Umno tapi bila keputusan keluar, dia tak bagi. Dia bagi tiga kepada wakil Ahli Parlimen Batu yang kalah pemilihan cabang, dan tiga lagi kepada ketua cabang PKR baharu untuk melantik,” katanya kepada FMT.
Beliau merujuk kepada Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran, yang tewas dalam pemilihan cabang PKR.
Menurut Gulam, sehingga kini tiada sebarang kuota MPP diberikan kepada Umno di mana-mana bahagian lain kecuali di Lembah Pantai. Beliau turut mendakwa peruntukan Parlimen Batu tidak pernah disalurkan kepada Umno tempatan.
“Kita guna duit kita sendiri di Batu ini. Sepatutnya kerjasama berjalan dengan baik sebab kita nak masuk pilihan raya bersama, tapi mereka seolah-olah anggap kami tak wujud,” katanya.
Selain itu, beliau mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, membatalkan pertemuan bersama ketua-ketua Umno WP pada saat akhir tanpa alasan jelas. Malah, katanya, sejak dilantik menteri, Dr Zaliha tidak pernah memanggil beliau untuk membincangkan dasar atau pelan gerak kerja di Wilayah Persekutuan.
“Jangan berpura-pura kalau nak kerjasama. Buat betul-betul. Kalau rasa Umno Batu tak ada nilai, tak payah nak bekerjasama dengan kami. Kami pun tak terhegeh-hegeh nak kerjasama, sedangkan kita jangka PRU16 hujung tahun hadapan,” katanya.
Seiring dengan keputusan tersebut, Gulam Muszaffar turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) yang dipengerusikan Dr Zaliha.
“Keputusan ini selaras dengan pendirian biro politik Umno Batu yang telah memutuskan hubungan dengan rakan politik dalam PH di Batu dan Wilayah Persekutuan,” katanya. – MADANI NEWS