Wanita cuba ‘serang’ Sultan Nazrin di pentas sambutan Hari Kebangsaan direman 3 hari – Polis

SEORANG wanita tempatan direman tiga hari kerana cuba menyerang Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah di atas pentas utama ketika sambutan rasmi Hari Kebangsaan Peringkat Perak semalam.
Ketua Polis Ipoh, Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata tempoh reman bermula hari ini hingga Rabu dikeluarkan Majistret Wardah Nabilah Mohd Abd Wahab.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah.
Terdahulu, wanita 41 tahun itu tiba di pekarangan IPD Ipoh kira-kira 10.15 pagi diiring seorang anggota polis.
Wanita yang mempunyai rekod rawatan psikiatri itu ditahan pengawal keselamatan bertugas, selepas masuk melalui tepi pentas ketika lagu kebesaran negeri Perak berkumandang pada sambutan rasmi Hari Kebangsaan Peringkat Perak di Ipoh semalam.
Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan dakwaan pengguna media sosial yang mengaitkan “perempuan Cina” dalam insiden pencerobohan pentas kenamaan sempena sambutan Hari Kebangsaan di Ipoh, Perak semalam.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, polis mengesahkan terkesan dengan penularan dakwaan tersebut di Facebook.
“Polis menyangkal berita tersebut, sebaliknya tangkapan telah dibuat ke atas seorang perempuan tempatan berbangsa Melayu, berusia 41 tahun.
“Ujian saringan air kencing turut dijalankan ke atas tangkapan dan keputusannya ialah negatif,” katanya dalam kenyataan tersebut. – MADANI NEWS