Zahid janji tambah 500 kutoa tambahan belia India ikuti TVET di China | Madani News

Zahid janji tambah 500 kutoa tambahan belia India ikuti TVET di China

Zahid janji tambah 500 kutoa tambahan belia India ikuti TVET di China

TIMBALAN Perdana Menteri. Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berjanji akan meluluskan permohonan sebanyak 500 kuota tambahan bagi belia India mengikuti Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di China, pada tahun ini.

Cadangan tersebut dikemukakan Pengerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra), P Prabakaran, ketika berucap di majlis untuk peserta Malaysia-China Youth TVET Training (MCYTT) tadi.

“Maka saya luluskan. Bukan tahun depan tapi tahun ini juga akan luluskan,” katanya, yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara.

Zahid berkata, pihaknya memperoleh lebih 5,000 kuota daripada ratusan institusi TVET di China, dan 500 kuota daripada jumlah itu dikhususkan untuk belia kaum India.

Di samping itu, kerajaan menyalurkan peruntukan tambahan RM3 juta melalui Mitra bagi memastikan peserta dapat menyertai latihan tersebut tanpa terlalu terbeban dengan kos.

“147 peserta bakal berangkat sepanjang bulan ini. Sebelum ini, 175 peserta telah pun berjaya menamatkan latihan, manakala 178 lagi akan menyusul pada bulan Oktober dan November,” katanya, lapor FMT.

Sementara itu, Zahid memaklumkan dua buah universiti China bakal menawarkan biasiswa penuh kepada peserta program yang berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah.

Menurutnya, 25 kuota ditawar Taizhou Vocational College of Science & Technology dalam bidang teknologi logistik, manakala 20 kuota ditawarkan Tangshan Polytechnic University dalam bidang teknologi pemeriksaan dan penyelenggaraan automotif.

“Mereka begitu teruja dengan tahap kompetensi belia India yang dihantar sebelum ini,” katanya.

“Syarat utama yang ditetapkan ialah pelajar mesti menduduki peperiksaan Hanyu Shuiping Kaoshi (HSK), atau ujian bahasa Mandarin, sekurang-kurangnya Tahap 3.”