Arab Saudi perketat syarat tunai haji, jemaah perlu sihat dan bebas penyakit serius - TH | Madani News

Arab Saudi perketat syarat tunai haji, jemaah perlu sihat dan bebas penyakit serius – TH

Arab Saudi perketat syarat tunai haji, jemaah perlu sihat dan bebas penyakit serius – TH
- Gambar hiasan BERNAMA

KERAJAAN Arab Saudi menetapkan beberapa syarat kesihatan baharu bagi musim Haji 1447H/2026M yang perlu dipatuhi semua bakal jemaah sebelum mendapatkan visa, menurut Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini.

Antara syarat utama yang diumumkan Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi ialah jemaah mesti bebas daripada penyakit berjangkit, penyakit serius atau penyakit kronik yang tidak terkawal, serta berupaya melaksanakan ibadat haji secara sendiri.

Jemaah tidak dianggap layak sekiranya menghidap penyakit seperti:

  • Kegagalan buah pinggang kronik
  • Kegagalan jantung atau penyakit jantung serius
  • Penyakit paru-paru kronik
  • Penyakit hati kronik
  • Masalah neurologi atau mental yang menjejaskan fungsi kognitif
  • Warga emas dengan dementia atau fizikal terlalu lemah
  • Kehamilan berisiko tinggi
  • Penyakit berjangkit aktif
  • Penyakit kanser yang sedang dirawat

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad, menegaskan bahawa TH sentiasa mengutamakan keselamatan, kebajikan dan kesihatan jemaah sebagai teras pengurusan operasi haji setiap tahun.

“TH sememangnya memandang serius aspek kesihatan para jemaah, terutama ketika berada di Tanah Suci. Setiap tahun, sebahagian besar petugas TH terdiri daripada pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi musim haji 1447H/2026M, TH akan mengekalkan kemudahan klinik kesihatan di semua bangunan penginapan jemaah di Makkah dan Madinah, lengkap dengan klinik pesakit luar dan farmasi yang dikendalikan petugas kesihatan KKM.

Bagaimanapun, TH tidak lagi dibenarkan membuka Pusat Rawatan sendiri di Tanah Suci, dan jemaah yang memerlukan rawatan lanjut akan dirujuk ke hospital kerajaan Arab Saudi dengan pemantauan pakar perubatan KKM.

TH juga telah merancang untuk menyediakan kemudahan tambahan di hospital swasta Arab Saudi sekiranya perlu, dengan seramai 225 petugas kesihatan akan bertugas bagi musim haji kali ini.

“Tahap kesihatan yang baik adalah sebahagian daripada syarat kemampuan mengerjakan haji (istito’ah). Seperti sebelum ini, bakal jemaah perlu lulus pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan oleh KKM sebelum menerima tawaran haji,” jelas Mustakim.

Beliau turut menasihatkan jemaah agar membuat persiapan fizikal lebih awal, memandangkan ibadat haji memerlukan ketahanan tubuh tinggi serta pendedahan kepada cuaca panas dan suasana berdebu di Tanah Suci. – MADANI NEWS