Tiada yang mencabar: Mahkamah lucut hak wang RM169 juta didakwa milik Ismail Sabri kepada kerajaan | Madani News

Tiada yang mencabar: Mahkamah lucut hak wang RM169 juta didakwa milik Ismail Sabri kepada kerajaan

Tiada yang mencabar: Mahkamah lucut hak wang RM169 juta didakwa milik Ismail Sabri kepada kerajaan
Gambar FB Ismail Sabri

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu, melucutkan hak wang bernilai RM169 juta didakwa milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada kerajaan Malaysia.

Wang berkenaan melibatkan RM14,772,150; SG$6,132,350; AS$1,461,400 dan CHF3 juta (franc Swiss); EUR12,164,150; JPY363,000,000 (Yen); £50,250 (Pound Sterling); NZ$44,600; AED34,750,000 (dirham Emiriah) dan AUD352,850.

Hakim, Suzana Hussin memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pendakwaan kerana tiada pihak ketiga yang berkepentingan hadir bagi mencabar prosiding melucutkan hak harta terbabit.

Pada 8 September lalu, mahkamah diberitahu, Ismail Sabri dan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus yang dinamakan sebagai responden, tidak berhasrat mencabar permohonan pendakwaan untuk melucutkan hak wang tunai yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Susulan itu, mahkamah membenarkan wang berkenaan dilucut hak mengikut Seksyen 41(1) Akta SPRM.

Mahkamah turut mengeluarkan warta pihak ketiga kepada mana-mana orang yang mempunyai kepentingan ke atas wang itu.

Pada sidang media Mac lalu, SPRM mempamerkan wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa dan 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.

Wang itu dipamerkan selepas SPRM mendedahkan wang tunai ratusan juta ringgit dan barangan berharga dirampas dalam tiga premis termasuk sebuah ‘safehouse’, berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram. – MADANI NEWS