FIFA gesa siasatan jenayah terhadap kes pemalsuan tujuh pemain warisan
ISU pemalsuan dokumen membabitkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan negara memasuki episod baharu apabila Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengarahkan perkara itu dimaklumkan kepada pihak berkuasa jenayah di lima negara.
Perkara tersebut dinyatakan menerusi alasan bertulis penuh setebal 64 muka surat yang dikeluarkan Jawatankuasa Rayuan badan induk itu awal pagi tadi.
Menurut laporan dokumen berkenaan, Jawatankuasa FIFA menegaskan bahawa isu tersebut amat serius dan memerlukan tindakan selanjutnya di peringkat pihak berkuasa Brazil, Argentina, Belanda, Sepanyol dan Malaysia.
“Memandangkan sifat dan keseriusan kesalahan ini, khususnya pemalsuan dokumen rasmi, sekretariat diarahkan mengambil langkah sewajarnya untuk memaklumkan pihak berkuasa jenayah di Brazil, Argentina, Belanda, Sepanyol dan Malaysia.
“Pemalsuan merupakan kesalahan jenayah di bidang kuasa tersebut, dan adalah penting pihak berkuasa berkaitan dimaklumkan supaya siasatan dan prosiding jenayah yang sewajarnya dapat dijalankan,” katanya, lapor Sinar Harian.
Sebelum ini, Jawatankuasa Rayuan FIFA telah menolak rayuan FAM dan tujuh pemain warisan berhubung Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Hukuman masih kekal yang menyaksikan FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.9 juta), manakala tujuh pemain berkenaan iaitu Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel dikenakan denda CHF2,000 (sekitar RM10,000) serta digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti bola sepak. – MADANI NEWS
