Kelab Colombia gugur Holgado, Alaves pertahan Garces – dua nasib berbeza pemain ‘warisan’ Harimau Malaya
DUA pemain “warisan” Harimau Malaya menerima nasib berbeza di kelab masing-masing selepas hukuman penggantungan 12 bulan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) berhubung isu pemalsuan dokumen keturunan.
Penyerang Rodrigo Julian Holgado menjadi pemain pertama digugurkan apabila kelabnya di Colombia, America de Cali, memutuskan untuk menamatkan kontraknya lebih awal – namun tetap membayar pampasan penuh seperti termaktub dalam kontrak asal.
Menurut laporan portal sukan Colombia ElDeportivo, keputusan itu dibuat selepas Fifa mengekalkan hukuman terhadap Holgado. Penamatan dilakukan secara baik dan mendapat persetujuan kedua-dua pihak.
Namun di Sepanyol, situasi berbeza buat Facundo Garces. Pengerusi kelab Deportivo Alaves, Alfonso Fernandez de Troconiz, menegaskan pemain itu masih disokong sepenuhnya.
“Kes ini di luar urusan kelab tetapi kami tetap percaya Garces tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Ia masih dalam proses rayuan dan belum ada keputusan muktamad,” katanya kepada Diario AS.
Siasatan media Argentina sebelum ini mendedahkan rekod kelahiran yang mencurigakan — kononnya datuk Garces, Carlos Rogelio Fernandez, sebenarnya tidak dilahirkan di Pulau Pinang seperti yang tercatat dalam dokumen yang dihantar kepada Fifa.
Garces sebelum ini mendakwa salah seorang datuk atau neneknya berasal dari Malaysia, menjadikannya layak beraksi sebagai pemain warisan.
Selain Holgado, seorang lagi pemain warisan, Gabriel Felipe Arrocha, turut kehilangan kontrak selepas hukuman sama dikenakan.
Kesemua mereka termasuk lima lagi pemain warisan digantung 12 bulan dan didenda selepas Fifa mendapati terdapat pemalsuan dokumen dalam proses naturalisasi oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
FAM kini merancang membawa kes itu ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menawarkan diri menanggung kos rayuan tersebut.
Bagi menyiasat lebih lanjut, FAM juga menubuhkan jawatankuasa bebas yang diketuai bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif, bagi meneliti dakwaan pemalsuan dan menilai semula prosedur pentadbiran yang digunakan dalam kes pemain warisan ini. – MADANI NEWS
