KLRA akan gegar pentas MYL 2025, sasar bawa pulang kejuaraan ke Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR – Akademi KL Rovers (KLRA) hadir dengan keyakinan tinggi menjelang saingan Malaysia Youth League (MYL) 2025 apabila tiga skuad muda mereka – U16, U14 dan U10, melibatkan 56 pemain serta barisan jurulatih berpengalaman – bakal turun berjuang di peringkat kebangsaan di Pasir Gudang, Johor dari 20 hingga 23 November.
Berbekalkan prestasi kukuh musim lalu dan momentum semasa, KLRA kini dilihat antara pencabar utama edisi 2025, dengan tekad untuk menggegarkan arena nasional dan mengharumkan nama Kuala Lumpur.

Pasukan U16 KLRA tampil dengan reputasi menggerunkan selepas menjuarai MYL Kuala Lumpur empat musim berturut-turut, manakala skuad U14 pula mengumpul dua gelaran juara sepanjang musim ini. Rekod tanpa kalah kedua-dua pasukan menjadi suntikan tambahan bagi misi membawa pulang trofi MYL 2025.
Pemilik Akademi KL Rovers, Aznor Dzulkarnain Aziz, menegaskan bahawa perjuangan di Johor nanti bukan sekadar mengejar gelaran, tetapi simbol penghargaan buat penyokong, ibu bapa dan komuniti bola sepak Kuala Lumpur yang setia bersama pasukan.
“Kami ingin muncul Juara MYL 2025 bagi membalas sokongan tidak berbelah bahagi penyokong, ibu bapa serta warga Akademi KLRA yang sentiasa positif dan bersemangat bersama pemain,” katanya.
Aznor turut menzahirkan penghargaan kepada rakan penaja yang menjadi tulang belakang perkembangan KLRA.
“Kami amat bersyukur dan berterima kasih kepada Pari Pari, Marche All Star, Manate Steak House, Quotro, Data Sukan dan individu korporat setempat yang terus menyokong pembangunan bola sepak komuniti di Kuala Lumpur,” katanya lagi.
KLRA akan membuka tirai saingan nasional bermula Jumaat, 20 November 2025 di venue rasmi Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor. – MADANI NEWS

