Emas kekal berkilau, niaga hadapan dijangka kukuh minggu depan
KONTRAK niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan kukuh minggu depan, disokong oleh minat berterusan pelabur terhadap aset selamat susulan langkah Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat menurunkan kadar faedah buat kali ketiga tahun ini.
Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) AS mengambil langkah agresif dengan mengurangkan kadar faedah kepada 3.5 hingga 3.75 peratus, turun daripada 4.25 hingga 4.50 peratus pada Disember tahun lalu. Keputusan itu turut memberi tekanan kepada dolar AS, sekali gus meningkatkan daya tarikan emas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata harga emas dijangka kekal sekitar US$4,300 setiap auns troy pada minggu hadapan.
Menurut beliau, tumpuan pasaran turut terarah kepada beberapa data ekonomi utama AS yang akan diterbitkan minggu depan, termasuk Senarai Gaji Bukan Ladang (NFP), Indeks Harga Pengguna (CPI), Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) serta Indeks Sentimen Pengguna Universiti Michigan (CSI).
Berdasarkan prestasi mingguan, kontrak bulan semasa Disember 2025 meningkat kepada US$4,324.50 setiap auns troy daripada US$4,206.10 sebelumnya, lapor Bernama.
Kontrak Januari 2026 pula mengukuh kepada US$4,341.40 setiap auns troy daripada US$4,221.80, manakala kontrak Februari 2026 susut kepada US$4,357.20 setiap auns troy berbanding US$4,269.90 pada minggu lalu.
Sementara itu, kontrak April 2026 dan Jun 2026 masing-masing ditutup lebih tinggi pada US$4,394.20 setiap auns troy berbanding US$4,303.80 sebelum ini.
Dari segi aktiviti dagangan, jumlah dagangan mingguan menurun kepada 192 lot daripada 299 lot pada minggu sebelumnya, namun kepentingan terbuka meningkat kepada 238 kontrak berbanding 148 kontrak.
Harga emas fizikal pula berada pada US$4,230.35 setiap auns troy, berdasarkan penetapan petang Persatuan Pasaran Bullion London pada 11 Disember 2025. – MADANI NEWS
