Walaupun di hukum FIFA, ranking Malaysia masih lebih tinggi dari Indonesia
WALAUPUN menutup tahun 2025 dengan penurunan kedudukan, Malaysia kekal berada di atas negara jiran, Indonesia dalam ranking dunia FIFA, sekali lagi menegaskan jurang prestasi antara dua seteru serantau itu.
FIFA membatalkan dua kemenangan satu keputusan seri yang dicatat Malaysia sebelum ini kerana mendakwa Harimau Malaya menurunkan pemain tak berkelayakan.
Harimau Malaya diisytiharkan kalah 3-0 dalam kesemua aksi terbabit beserta tambahan mata ranking yang dikutip ditolak serta-merta dan menyebabkan penurunan ranking Malaysia.
Berdasarkan kemas kini terbaharu FIFA, Harimau Malaya turun lima anak tangga ke kedudukan ke-121 dunia, namun masih selangkah di hadapan Indonesia yang terus menghuni tangga ke-122.
Kedudukan itu sekali gus menafikan hasrat skuad Garuda untuk menamatkan tahun di atas Malaysia, meskipun pelbagai pelaburan dan naturalisasi pemain giat dilakukan.
Dalam perkembangan lain, Thailand kekal sebagai pasukan terbaik Asia Tenggara walaupun turun satu anak tangga ke ranking ke-96 dunia, manakala Vietnam terus konsisten dalam kelompok 110 pasukan terbaik dunia di kedudukan ke-107.
Filipina berada di tangga ke-136 untuk melengkapkan lima pasukan terbaik ASEAN, sementara Singapura mencatat peningkatan apabila melonjak ke kedudukan ke-148 dunia, memintas Yaman.
Kemas kini ranking ini sekali lagi menghidupkan perdebatan siapa sebenarnya ‘raja bola sepak ASEAN’ menjelang tahun 2026. – MADANI NEWS
