Akmal umum letak jawatan Exco Melaka, kekal sebagai Ketua Pemuda UMNO
KETUA Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mengumumkan akan meletakkan jawatan sebagai Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka berkuatkuasa mulai minggu hadapan.
Muhamad Akmal berkata, keputusannya meletakkan jawatan itu demi kepentingan parti disebabkan suara akar umbi yang menuntut UMNO tidak lagi bersama-sama dengan DAP, bagaimanapun beliau mengekalkan jawatan Ketua Pemuda UMNO.
Katanya, beliau meletakkan jawatan itu juga adalah disebabkan tanggungjawab, prinsip dan maruah.
“Saya hari itu sudah bawa kerisauan rakyat di bawah yang tidak boleh duduk dengan DAP (dalam Kerajaan Perpaduan), orang kita marah dengan DAP dan saya akur keputusan parti kekal dalam kerajaan sehingga penghujung penggal.
“Tetapi sebagai seorang pemimpin bawah yang diangkat ke atas, saya perlu akur kepada akar umbi,” katanya semasa berucap dalam ucapan dasarnya sempena Perhimpunan Agung Pemuda UMNO 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.
Mengulas lanjut katanya, peletakan jawatan itu juga sudah dibincang bersama dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Menurut Akmal, beliau pada peringkat awal mahu melepaskan semua jawatan termasuk sebagai Ketua Pemuda UMNO.
Bagaimanapun katanya, selepas mendapat nasihat Ahmad Zahid dan Ab Rauf, beliau membuat keputusan untuk tidak meletakkan jawatan dalam sayap UMNO itu kerana tidak mahu lari dari perjuangan.
“Kalau ada orang yang cakap dengan lari dari perjuangan, saya nak beritahu tidak sama sekali saya tinggalkan Pemuda UMNO pada hari ini.
“Bagi saya jawatan dalam kerajaan tidak penting, tetapi apa yang lebih penting maruah, prinsip dan suara akar umbi ini,” katanya. – MADANI NEWS
