Pemimpin ‘ada beban’ punca Umno kekal bersama kerajaan perpaduan – Sanusi
ALOR SETAR: Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa kewujudan pemimpin Umno yang mempunyai “beban” tertentu menjadi antara faktor utama parti itu terus kekal dalam kerajaan perpaduan.
Walaupun tidak menamakan mana-mana individu secara khusus, Menteri Besar Kedah itu memberi bayangan jelas bahawa pemimpin yang berdepan isu atau kontroversi mudah terikat dan gagal membuat keputusan berisiko apabila perkara tertentu dibangkitkan.
Menurutnya, situasi itu menyebabkan pemimpin berkenaan cenderung menarik balik pendirian apabila ditekan, sekali gus merugikan negara.
“Inilah beban apabila melantik pemimpin yang ada beban. Bila ada salah silap, apabila jadi pemimpin dan mahu buat tindakan berisiko, bila orang ungkit, terus patah balik. Itulah masalah apabila negara dipimpin oleh pemimpin yang ada beban. Rugi,” katanya, memetik laporan media.
Beliau turut menasihatkan agar pada masa depan rakyat tidak memilih pemimpin yang membawa liabiliti sedemikian kerana ia boleh menjejaskan keupayaan kepimpinan di peringkat nasional dan antarabangsa.
“Belum pergi peringkat antarabangsa lagi, dalam negara pun orang sudah sebut tentang ‘47’,” katanya, dipercayai merujuk kepada 47 pertuduhan yang pernah dihadapi Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid sebelum ini menerima perintah pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) pada 2023 bagi 47 pertuduhan pecah amanah jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Sanusi mengulas perkara itu ketika diminta mengulas kenyataan Zahid semalam yang mengesahkan Umno akan terus kekal sebagai sebahagian daripada kerajaan perpaduan sehingga tamat penggal Parlimen semasa dan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, turut menegaskan bahawa Umno tidak bercadang menghidupkan semula gabungan politik lama atau penjenamaan yang pernah gagal sebelum ini, sambil mengingatkan agar kesilapan politik lalu tidak diulang.
Kenyataan itu dipercayai merujuk kepada Muafakat Nasional (MN), pakatan longgar antara Umno dan PAS yang ditubuhkan pada September 2019 bagi menyatukan undi Melayu-Islam.
Zahid berkata pendirian tersebut diputuskan dalam mesyuarat biro politik Umno yang berlangsung pada malam Isnin.
Sementara itu, semasa Konvensyen Khas Pemuda Umno hujung minggu lalu, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Akmal Saleh memaklumkan kepada lebih 1,000 perwakilan Pemuda, veteran parti serta pemimpin NGO Melayu bahawa Zahid bersedia berdepan sebarang pertuduhan di mahkamah pada masa hadapan berkaitan kes DNAA tersebut.
Akmal turut menyatakan bahawa sekiranya akar umbi mahu Umno menarik diri daripada kerajaan perpaduan, beliau bersedia akur walaupun berdepan risiko pendakwaan semula.
Bulan lalu, Jabatan Peguam Negara (AGC) mempertahankan keputusannya memohon DNAA untuk Zahid dengan menegaskan tindakan itu mematuhi undang-undang dan dibuat berdasarkan keadaan semasa, termasuk keperluan siasatan lanjut.
AGC mengeluarkan kenyataan itu susulan laporan bahawa peguam Syed Amir Syakib Arsalan Syed Ibrahim telah memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah mandamus supaya siasatan dan semakan terhadap DNAA berkenaan diselesaikan.
Keputusan DNAA itu sebelum ini turut menerima kritikan pelbagai pihak, termasuk Gabungan Advokasi Rakyat Malaysia (Haram), yang mendakwa ia memberi gambaran pembebasan golongan berprofil tinggi dalam kes rasuah di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
