PRK: Tiga penjuru di Parlimen Kinabatangan, satu lawan satu di DUN Lamag
KINABATANGAN – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Parti Warisan dan calon Bebas, manakala PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag berlangsung secara satu lawan satu antara BN dan Warisan.
Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Eddy Syaizul Rizam Abdullah selepas proses penamaan calon di Dewan Sri Lamag, di sini hari ini.
Menurut beliau, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima tiga kertas penamaan bagi kerusi Parlimen Kinabatangan dan dua kertas penamaan bagi kerusi DUN Lamag.
“Saya telah menyemak semua kertas penamaan dan berpuas hati bahawa tiada kertas penamaan yang ditolak,” katanya, lapor Bernama.
Bagi PRK Parlimen Kinabatangan, calon BN, Mohd Kurniawan Naim Moktar, 32, yang juga anak kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, berdepan cabaran daripada Datuk Saddi Abdul Rahman, 67, calon Parti Warisan dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sukau, serta calon Bebas, Goldam Hamid, 40.
Sementara itu, PRK DUN Lamag menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob, 44, mewakili BN dan Mazliwati Abdul Malek, 53, calon Warisan.
Pusat penamaan calon dibuka pada jam 9 pagi dan proses mengemukakan borang pencalonan berlangsung selama satu jam. Bagi Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim merupakan calon pertama menyerahkan borang pada 9.06 pagi, diikuti Saddi (9.18 pagi) dan Goldam (9.31 pagi).
Bagi DUN Lamag pula, Mohd Ismail menjadi calon pertama menyerahkan borang pencalonan pada 9.04 pagi, diikuti Mazliwati pada 9.07 pagi.
SPR memaklumkan proses penamaan calon berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini.
PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Disember lalu.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon sehingga 11.59 malam, 23 Januari. Hari pengundian ditetapkan pada 24 Januari, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 20 Januari.
Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi kedua-dua PRK berkenaan melibatkan seramai 48,722 pemilih, merangkumi 48,526 pengundi biasa dan 196 anggota polis serta pasangan sebagai pengundi awal.
Sebanyak 36 pusat mengundi biasa yang melibatkan 117 saluran serta satu pusat mengundi awal di Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan akan digunakan. Semua pusat mengundi dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang, kecuali 20 pusat mengundi di tiga DUN iaitu Lamag, Kuamut dan Sukau yang ditutup lebih awal antara jam 12 tengah hari hingga 4 petang. – MADANI NEWS
