Sanusi tolak dicalonkan, Ahmad Samsuri dilihat lebih layak terajui PN, katanya
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menolak cadangan yang mengaitkan dirinya sebagai calon Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebaliknya mencadangkan tokoh lain yang dianggap lebih sesuai.
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu berkata, Naib Presiden PAS merangkap Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, lebih layak dan wajar dipertimbangkan untuk menerajui gabungan pembangkang berkenaan.
“Saya tidak setuju dengan cadangan itu. Masih ada calon lain yang lebih layak. Saya mencadangkan Menteri Besar Terengganu,” katanya ketika dihubungi BH Online hari ini.
Kenyataan Sanusi itu dibuat susulan laporan sebelum ini yang memetik Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Ahmad Yahaya, menyatakan persetujuan terhadap pencalonan Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN sebagai pengerusi baharu gabungan itu. Sokongan sama turut dizahirkan oleh Pemuda PAS Selangor.
Semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN berkuat kuasa Khamis lalu, susulan krisis politik yang melanda Perlis. Muhyiddin, yang juga Presiden BERSATU, menerajui PN sejak gabungan itu didaftarkan secara rasmi pada 7 Ogos 2020.
Sebelum ini, beberapa pihak dalam PAS termasuk Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden, secara terbuka mendesak agar jawatan Pengerusi PN diserahkan kepada PAS, mencerminkan perubahan dinamika kepimpinan dalam gabungan itu.
Hubungan antara PAS dan BERSATU dilihat semakin tegang susulan pergolakan politik di Perlis yang menyaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli, meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar.
