Arah GLC ambil anak bekerja, Exco Terengganu didakwa esok
SEORANG Exco Terengganu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menyalah guna kedudukan akan dituduh esok.
SPRM sudah mendapatkan keizinan daripada pendakwa raya untuk mendakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada 9 pagi, lapor Berita Harian.
Semalam, media melaporkan suspek lelaki berusia 60-an ditahan kerana disyaki salah guna kedudukan dengan mengarahkan kedua-dua anaknya diambil bekerja di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.
Sumber berkata, suspek ditahan pada 11.15 pagi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kemaman, dan siasatan awal mendapati dia disyaki melakukan perbuatan itu pada 2018 dan 2020.
Suspek dipercayai menggunakan jawatan dan kedudukannya sebagai exco dan pengerusi lembaga pengarah sebuah syarikat untuk mengarahkan kedua-dua anaknya diambil bekerja di dua anak syarikat kerajaan negeri.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
