Jawatankuasa khas siasat dakwaan terhadap Azam Baki ditubuhkan – Fahmi
KERAJAAN menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat dakwaan serta isu berbangkit yang dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, jawatankuasa khas tersebut akan dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
“Setelah siasatan selesai, laporan akan dibentangkan semula kepada Jemaah Menteri untuk sebarang tindakan susulan. Langkah ini bagi memastikan aspek ketelusan dan integriti sentiasa terpelihara dalam proses siasatan,” katanya pada sidang media mingguan Kabinet di sini hari ini.
Sebelum ini, Bloomberg melaporkan Azam didakwa memiliki pegangan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Bagaimanapun, Azam dalam sidang media baru-baru ini menegaskan bahawa pegangan saham bernilai RM800,000 itu dibuat secara telus dan mematuhi prosedur yang ditetapkan. Beliau dilaporkan berkata pemilikan berkenaan tidak disembunyikan, telah diisytiharkan sepenuhnya, dan saham yang dibeli tahun lalu itu juga telah dilupuskan dalam tahun yang sama.
Langkah penubuhan jawatankuasa khas itu dilihat sebagai usaha kerajaan memperkukuh keyakinan awam terhadap institusi penguatkuasaan serta memastikan sebarang dakwaan diteliti secara profesional dan bebas. – MADANI NEWS
