Mengikut perlembagaan, Bahagian Bersatu didakwa bubar masih wujud – Azmin
PETALING JAYA – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Larut, Lembah Pantai, Kepala Batas dan Tanjong masih wujud mengikut perlembagaan parti.
Setiausaha Agung Bersatu itu menegaskan dakwaan kononnya bahagian berkenaan telah dibubarkan adalah tidak berasas, tidak berperlembagaan dan bercanggah dengan peraturan persidangan parti.
Menurutnya, ibu pejabat parti menerima laporan serta pautan media sosial dan kenyataan media yang mendakwa bahagian terbabit dibubarkan susulan peletakan jawatan beberapa ahli jawatankuasa.
“Perlembagaan parti tidak memperuntukkan kuasa kepada mana-mana ahli termasuk ketua bahagian untuk membubarkan bahagian. Tindakan ini mencerminkan usaha terdesak segelintir individu berniat jahat untuk merosakkan imej dan kestabilan parti,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, beberapa bahagian Bersatu dilaporkan mengumumkan pembubaran atas alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Presiden Muhyiddin Yassin susulan pemecatan Hamzah Zainudin sebagai timbalan presiden.
Semalam, Ketua Penerangan Pemuda Bersatu, Harris Idaham Rashid menegaskan jawatankuasa bahagian tidak mempunyai hak mengumumkan pembubaran kerana kuasa tersebut terletak pada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) yang dipengerusikan presiden.
Pandangan itu turut disokong Ahli MPT Bersatu, Razali Idris, yang menyatakan hanya MPT mempunyai kuasa membubarkan bahagian dan cawangan parti.
Sementara itu, Azmin berkata mesyuarat MPT pada 14 Februari lalu mengambil langkah proaktif dengan memberi mandat kepada Badan Pimpinan Negeri untuk memantau setiap bahagian serta mengenal pasti langkah pemulihan bagi bahagian bermasalah.
Katanya, MPT akan mengambil tindakan selanjutnya berdasarkan peruntukan perlembagaan sedia ada.
“Saya yakin Bersatu kini semakin matang dan utuh, serta akan melangkah ke hadapan dengan keyakinan baharu dalam membawa agenda perjuangan rakyat,” katanya. – MADANI NEWS
