Tidak perlu rehatkan Azam ketika siasatan dijalankan terhadapnya – PM Anwar
TIADA keperluan untuk merehatkan Tan Sri Azam Baki sementara siasatan dijalankan terhadap dakwaan dikaitkan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri bagaimanapun menjelaskan, kerajaan menyerahkan kepada jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk menyiasat kes terbabit secara teliti dan telus.
“Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, memaklumkan tadi supaya serahkan kepada jawatankuasa untuk meneliti kes itu bersama Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
“Tadi, kita juga berbincang supaya siasatan itu biar betul-betul telus dan terbuka supaya kita dapat meneliti permasalahan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Pusat Islam, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang diketuai Shamsul Azri bagi menyiasat segala dakwaan dan perkara berbangkit yang dikaitkan dengan Azam.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, dipetik berkata perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Anwar, hari ini. – MADANI NEWS
