Zahid mohon lepas dan bebas 47 pertuduhan, bersandar keputusan AG tiada tindakan lanjut
KUALA LUMPUR — Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memfailkan permohonan untuk dilepas dan dibebaskan (discharge and acquittal) daripada kesemua 47 pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.
Permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi pada 28 Januari lalu, dengan Pendakwa Raya dinamakan sebagai responden, susulan kenyataan Peguam Negara pada 8 Januari bahawa tiada tindakan lanjut (no further action, NFA) akan diambil terhadap kes berprofil tinggi itu.
Keputusan AG yang mengklasifikasikan kes tersebut sebagai NFA mencetuskan polemik nasional, memandangkan Ahmad Zahid sebelum ini dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) pada September 2023, selepas pihak pendakwaan memohon kes itu digugurkan buat sementara.
Peguam bela Ahmad Zahid, Datuk Hisyam Teh Poh Teik berkata, sudah lebih dua tahun pertuduhan itu tergantung tanpa penyelesaian muktamad, sekali gus memberi kesan kepada reputasi dan hak anak guamnya.
“”Jadi tak adil untuk seseorang, pertuduhan itu sentiasa tergantung atas kepala dia. Beliau perlu mencari kebenaran,” katanya selepas prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini.
Menurut Hisyam, permohonan yang turut disertakan dengan sijil perakuan segera itu telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada 30 Januari lalu. Mahkamah Tinggi menetapkan 24 Februari ini bagi mendengar permohonan tersebut.
Keputusan AG mengklasifikasikan kes sebagai NFA sebelum ini mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk ahli akademik undang-undang dan badan pemantau integriti, yang mempersoalkan prinsip kedaulatan undang-undang serta kebebasan institusi pendakwaan, memandangkan Ahmad Zahid merupakan tokoh utama dalam kerajaan perpaduan. – MADANI NEWS
