Guna dana syarikat judi: SPRM tak pernah henti, gugur siasatan terhadap PN

Guna dana syarikat judi: SPRM tak pernah henti, gugur siasatan terhadap PN

DATUK Seri Azalina Othman menegaskan jawapan beliau di Dewan Rakyat bagi pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menyatakan bahawa apa-apa siasatan berhububg dakwaan Perikatan Nasional (PN) menggunakan dana syarikat judi untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) telah dihenti atau digugurkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) itu berkata sebaliknya SPRM hanya menyatakan tiada fail siasatan dibuka memandangkan maklumat diperoleh setakat ini bersifat umum.

Dalam hal itu, katanya, SPRM sebagai badan bebas dan berkecuali tentu sekali akan dan berhak menjalankan siasatan berkaitan dan membuka fail siasatan sebagaimana perlu mengikut Akta SPRM 2009 [Akta 694].

SPRM juga menurutnya, berhak menjalankan siasatan mengikut mana-mana undang-undang yang berkuatkuasa berdasarkan maklumat dan juga bukti yang diperoleh dari semasa ke semasa.

“Pada masa sama, penting untuk ditegaskan selain SPRM, terdapat agensi-agensi lain yang bertanggungjawab dan berkuasa termasuk Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHON) untuk menyiasat sebarang kesalahan jenayah dilakukan oleh mana-mana entiti.

“Undang-undang Malaysia tidak mempunyai sebarang had masa (time limit) untuk memulakan sebarang tindakan atas kes-kes jenayah.

“Justeru, tidak wajar untuk mana-mana pihak mempolitik atau memutarbelitkan jawapan yang telah saya berikan kepada Ahli Parlimen Pasir Mas dalam Dewan Rakyat berhubung hal ini mahupun membuat tuduhan tidak berasas terhadap Perdana Menteri,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru Azalina berkata, semua pihak menghormati prinsip ‘rule of law’, dan tidak membuat kesimpulan melulu atas jawapan yang diberi di Dewan Rakyat.

Terdahulu hari ini, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata parti itu akan merujuk peguam sebelum membuat tindakan lanjut berhubung tuduhqn ia menggunakan dana syarikat judi untuk kempen PRU15.

Muhyiddin berkata, kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa PN dibiayai syarikat judi pada PRU15 lalu dsifatkan sebagai fitnah dan juga pembohongan besar.

Justeru, beliau menuntut Anwar dan Ahmad Zahid memohon maaf secara terbuka susulan kenyataan dan dakwaan bersifat fitnah berkenaan.

Semalam media melaporkan, Azalina Othman Said menjelaskan siasatan SPRM tidak dapat membuktikan dakwaan bahawa PN menerima dana daripada syarikat perjudian untuk berkempen dalam PRU15.

Azalina melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat berkata, SPRM sudah menjalankan kajian terperinci berkaitan maklumat berkenaan.

Bagaimanapun, katanya SPRM mendapati maklumat terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu itu.

Justeru, menurutnya, tiada apa-apa fail siasatan dibuka ke atas isu tersebut.

Sebelum ini, Anwar dalam sidang medianya mendedahkan kemungkinan PN memperoleh dana politik dari syarikat berkaitan perjudian bagi membiayai perbelanjaan pilihan raya.

Sumber: MalaysiaPost