Siapa kata klinik kerajaan lembap? Masa menunggu kini cuma 30 minit – Dr Dzulkefly

KERAJAAN sentiasa berusaha meningkatkan kecekapan operasi perkhidmatan agensinya yang berurusan dengan orang ramai terutama perkhidmatan di kaunter atau mendapat rawatan kesihatan di hospital atau klinik.
Sebagai contoh, jika dahulu tempoh mendapatkan pasport akan memakan berhari-hari, kini ia boleh dilakukan dalam masa beberapa minit sahaja. Begitu juga perkhidmatan di hospital dan klinik kesihatan, perkhidmatan kecemasan, pesakit luar atau memasuki wad berjalan dengan lancar.
Terkini, Kementerian Kesihatan (KKM) berjaya mengurangkan lagi tempoh waktu menunggu dari tiga jam kepada 30 minit bagi perkhidmatan kesihatan di klinik kerajaan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pencapaian itu dilakar menerusi tekad pelaksanaan agenda transformasi digital kesihatan.
Malah menurutnya, tahun ini menjadi merupakan tahun untuk bekerja dengan melaksanakan segala perancangan bagi merealisasikan agenda berkenaan.
“Kita sudah mendigitalisasikan perkhidmatan utama, mengurangkan waktu menunggu di klinik penjagaan primer utama dari tiga jam kepada hanya 30 minit.
“Dari 107 klinik antara 2007 hingga 2022 kepada 159 klinik pada 2024.
“Awal tahun ini sahaja, ia (jumlah klinik) meningkat sebanyak 48.6 peratus dan 2025 adalah tahun pelaksanaan. Masa untuk tunaikan apa yang dijanjikan,” katanya menerusi hantaran di platform X hari ini.
Sebelum ini Dr Dzulkefly ketika sidang Dewan Rakyat pada Mac lalu memaklumkan, KKM menyasar untuk melaksanakan transformasi digital di setiap fasiliti kesihatan seluruh negara dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang.
Ia termasuk melihat kembali semua sistem digital di KKM selain menetapkan strategi pendigitalan baharu mengikut arus teknologi terkini serta melaksana dan memantau pelaksanaan yang sudah pun dirancang. – MADANINEWS
KRITIS | INTEGRITI | RELEVAN – Follow media sosial kami di https://linktr.ee/madaninews