Muar dapat RM1 juta, Syed Saddiq dapat “kasih sayang dan gembira luar biasa”

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang kelihatan mengendurkan sedikit aktiviti berpopolitik menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan bernilai lebih RM1 juta yang diterima untuk diagihkan kepada warga Muar.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, pemberian bantuan merangkumi pakaian tradisional, jubah, telekung dan bakul makanan itu susulan kolaborasinya bersama sebuah jenama fesyen tempatan terkenal.
“RM1 juta untuk Muar, Alhamdulillah. Saya dapat apa? Dapat kasih sayang dan rasa gembira yang luar biasa.
“Apabila saya melihat mereka yang kurang bernasib baik gembira, itu menjadikan saya orang paling gembira,” katanya dalam hantaran di X pada Rabu.
Selain Syed Saddiq, pelakon dan penyanyi, Bella Astillah turut digandingkan bersama dalam kolaborasi jenama pakaian tersebut.
Pada 24 Januari lalu, aksi kedua-dua mereka mendaki Gunung Kinabalu bersama menarik perhatian warga maya, ditambah lagi penampilan berbaju tradisional Melayu, dengan Bella berbaju kurung, manakala Syed Saddiq memakai baju Melayu lengkap bersamping.
Sebelum ini, Bella juga mendedahkan mereka merupakan sahabat baik dan sering melakukan aktiviti rekreasi bersama seperti badminton, lebih-lebih lagi selepas menjadi duta jenama popular.
Ujar Syed Saddiq, bantuan berkenaan melibatkan 3,456 baju Melayu dan baju kurung untuk kanak-kanak, manakala 1,625 pasang pakaian tersebut diperuntukkan kepada golongan orang tua.
Tambahnya, rakyat Muar juga diberikan sumbangan seperti 500 telekung, 500 jubah dan 800 bakul makanan.
“Macam mana boleh dapat semua ini? Bukan dengan bercuti, tetapi dengan menjadi model, buat sesi penggambaran dan panjat Gunung Kinabalu. – MADANINEWS