TNB sahkan kebakaran di loji janakuasa Port Dickson, semoga ‘Blackout 1992’ tidak berulang

TENAGA Nasional Berhad mengesahkan kebakaran berlaku di Loji Janakuasa Tuanku Jaafar di Port Dickson, tetapi memberi jaminan keadaan terkawal.
Ia berkata pasukan teknikal telah dihantar ke lokasi untuk menilai keadaan dan mengambil sebarang tindakan yang perlu untuk memastikan keselamatan.
“Pada masa ini, bekalan elektrik kepada pengguna tidak terjejas, dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
“TNB akan terus memantau perkembangan situasi ini dan akan memberikan maklumat terkini sekiranya diperlukan,” katanya dalam catatan Facebook.
Terdahulu, media melaporkan bahawa pusat bandar Port Dickson digegarkan oleh letupan di loji janakuasa itu kira-kira jam 8:30 malam.
Sejarah kebakaran loji janakuasa TNB
29 Julai 2009
- Loji Janakuasa Sultan Salahuddin Abdul Aziz di Kapar, Selangor terbakar.
- Kebakaran sekitar 6:45 pagi dan menjejaskan tali sawat penyampai yang membawa arang ke dua unit generator berkapasiti 500 Megawatt (MW).
- Namun, generator tersebut tidak terjejas, dan bekalan elektrik kepada pengguna tidak terputus
29 Sept 1992
- Dianggap salah satu gangguan bekalan elektrik paling teruk dalam sejarah Malaysia
- Malaysia mengalami gangguan bekalan elektrik besar-besaran yang dikenali sebagai ‘Blackout 1992’, selama 7 jam.
- Aktiviti ekonomi lumpuh, perkhidmatan awam seperti trafik dan komunikasi terganggu
- Insiden membawa kepada penubuhan Penjana Tenaga Bebas (IPP) di negara ini.
— MADANINEWS