Ismail Sabri pengsan tidak sedar diri, kini dirawat di hospital | Madani News

Ismail Sabri pengsan tidak sedar diri, kini dirawat di hospital

Ismail Sabri pengsan tidak sedar diri, kini dirawat di hospital

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, 65, telah dikejarkan ke hospital selepas rebah di rumahnya di Damansara, Kuala Lumpur awal pagi tadi.

Menurut anaknya, Nashriq, kejadian itu berlaku sekitar 2.30 pagi ketika bapanya tiba-tiba jatuh semasa berjalan ke dapur.

“Kami sedang bersantai, berbual ringan… (sebelum kejadian itu berlaku), ” katanya yang dipetik dari laporan Malaysiakini.

Sementara itu, salah seorang bekas pembantu beliau, Azran Fitri Rahim dalam Facebook miliknya menyatakan Ismail Sabri telah dikejarkan ke Sunway Medical Centre, Kota Damansara pada pukul 2.30 awal pagi tadi.

“Datuk Seri Ismail pengsan dan tidak sedarkan diri pagi tadi. Semoga DSIS diberi kesembuhan oleh Allah SWT, Aamiin,” katanya yang turut meletakkan gambar bekas Perdana Menteri itu di sebuah katil hospital.

Sementara itu, Malaysiakini memetik seorang pembantu Ismail Sabri melaporkan bahawa bekas Perdana Menteri itu dipercayai mengalami serangan jantung.

Namun begitu, keadaan Ahli Parlimen Bera itu dilaporkan kini berada dalam keadaan stabil.

Ismail Sabri, 65, merupakan Perdana Menteri kesembilan setelah mengangkat sumpah jawatan pada Ogos 2021.

Bekas Naib Presiden UMNO itu diberi perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Perdana Menteri susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen. – MADANINEWS