Beras putih tempatan RM26 bagi 10kg untuk penduduk miskin diperkenalkan | Madani News

Beras putih tempatan RM26 bagi 10kg untuk penduduk miskin diperkenalkan

Beras putih tempatan RM26 bagi 10kg untuk penduduk miskin diperkenalkan

BERAS Putih Tempatan (BPT) bersubsidi berharga RM26 bagi pek 10 kilogram (kg) akan dijual di pasaran bermula 1 Mac ini.

Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras, Badrul Hisham Mohd, berkata penjualan disasarkan kepada 400,000 ketua isi rumah (KIR) miskin, termasuk 77,000 KIR miskin tegar.

Beliau berkata setiap KIR dihadkan untuk membeli dua pek bagi setiap pembelian.

Badrul yakin bekalan mencukupi memandangkan rakyat menggunakan sekitar 77kg beras setahun secara purata dan pengiraan itu bagi mengelakkan lambakan yang akan bergerak ke arah manipulasi.

“Pasukan saya sudah mewujudkan mekanisme kawalan dan kita akan keluarkan satu arahan khusus kepada peruncit untuk hadkan pembelian,” katanya dalam sidang media khas berkenaan mekanisme pelaksanaan subsidi BPT, lapor Bernama.

Badrul berkata BPT akan disalurkan kepada 36,000 peruncit berlesen seluruh negara dan juga di Jualan Agro Madani dan Jualan Rahmah.

Penjualan akan tertumpu di kawasan miskin bandar seperti di flat dan rumah pangsa.

Badrul berkata kumpulan pertama yang akan menikmati PBT bersubsidi ialah di Jualan Agro MADANI pada Khamis ini di Kedah.

Sebanyak 10,000 hingga 20,000 kampit beras tempatan akan dijual sempena lawatan kerja Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Alor Setar. – MADANINEWS