Latheefa cabar Anwar bebaskan Najib jika benar beliau tidak bersalah, 'pendakwaan berniat jahat' | Madani News

Latheefa cabar Anwar bebaskan Najib jika benar beliau tidak bersalah, ‘pendakwaan berniat jahat’

Latheefa cabar Anwar bebaskan Najib jika benar beliau tidak bersalah, ‘pendakwaan berniat jahat’

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dicabar untuk membebaskan Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang menjalani hukuman penjara enam tahun atas kesalahan rasuah dan salah guna kuasa.

Bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya mempersoalkan kenyataan Anwar yang menyifatkan beberapa pendakwaan berprofil tinggi pada 2018 dilakukan secara “tergesa-gesa” dan dicemari oleh “racun dan permusuhan.”

“Siapa yang dia maksudkan? Siapakah kumpulan atau individu yang bertanggungjawab menjalankan dendam sebegitu?,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

Latheefa berkata, adakah Anwar mempersoalkan integriti mahkamah dan berapa banyak hakim yang telah mendapati Najib bersalah dan menghukumnya?

“Jika anda mengatakan ini adalah pendakwaan yang berniat jahat, maka anda telah merendahkan keputusan mahkamah tertinggi.

“Jika itu kesnya, mengapa memberikan diskaun (mengurangkan hukuman)? Mengapa tidak bebaskan dia sahaja? Jika anda rasa ini salah sepenuhnya, berniat jahat, dan penuh racun, maka anda patut bebaskan dia, dia adalah mangsa.

“Tapi ini bukan begitu atau begini. Anda berikan diskaun 50 peratus, anda cipta (isu adendum) ini, dan kita masih belum selesai isu tahanan rumah. Kenapa separuh jalan? Sama ada dia mangsa atau tidak. Kenapa tidak lepaskan sahaja Najib?”

“Maksud saya, saya cabar dia untuk lepaskan Najib jika dia kata ini penuh racun.

“Ini adalah gaya tipikal perdana menteri untuk berbelit-belit tentang sesuatu yang dia boleh jawab dengan jelas atau patut jawab,” katanya mengulas kenyataan Anwar melalui episod kedua podcast Straight Talk terbitan Malaysiakini dan KiniTV.

Untuk rekod, pada 21 Disember lalu, Anwar ketika mengulas tentang pembebasan Datin Seri Rosmah Mansor daripada tuduhan pengubahan wang haram, menegaskan dia tidak terlibat dalam keputusan mahkamah.

“Anda juga perlu tahu pada masa itu, pendakwaan dilakukan dengan tergesa-gesa, (dengan) racun, permusuhan dan dendam politik oleh pihak yang berkuasa ketika itu, sehingga banyak pendakwaan ada kelemahan,” Anwar dilaporkan berkata.

Latheefa merupakan Ketua SPRM dari Jun 2019 hingga Mac 2020. – MADANINEWS