Siti Nurhaliza Mohon Maaf, Akui Kesilapan Promosi Produk Nikotin Terlarang

PENYANYI tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, tampil memohon maaf selepas tanpa sedar mempromosikan produk berasaskan nikotin yang dilarang di Malaysia.
Dalam satu hantaran di Instagram (IG), Siti, 46, mengakui kesilapannya kerana tidak membuat penyelidikan terlebih dahulu mengenai produk tersebut sebelum memuat naik promosi di media sosialnya.
“Maaf atas khilaf saya mengenai produk yang saya masukkan di hantaran IG sebelum ini. Saya sedar ini adalah kesilapan saya kerana tidak menyelidik atau mengetahui sepenuhnya mengenai produk tersebut,” tulisnya, seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian Malaysia (BHM).
Siti turut menyatakan penghargaan kepada orang ramai yang menegurnya serta memberi makluman mengenai produk berkenaan. Beliau memaklumkan bahawa hantaran tersebut telah pun dipadam.
“Terima kasih atas teguran, pemberitahuan dan memaklumkan hal ini kepada saya. Saya sudah memadamkan hantaran tersebut dan terima kasih sekali lagi atas teguran yang diberikan,” katanya.
PHM: Produk Nikotin Tidak Boleh Dipromosikan
Terdahulu, hantaran promosi Siti mengenai produk Nicotine Pouch telah menerima teguran daripada pelbagai pihak, termasuk pakar kesihatan. Produk berbentuk kantung kecil itu mengandungi serbuk daun tembakau yang diletakkan di bawah bibir, dengan dakwaan dapat membantu mengurangkan keinginan untuk merokok.
Bagaimanapun, menurut laporan mStar Online, wadah kesihatan awam Malaysia, Public Health Malaysia (PHM), menjelaskan bahawa walaupun produk ini tidak menghasilkan asap seperti rokok, ia tetap mengandungi nikotin yang boleh menyebabkan ketagihan serta memberi kesan buruk kepada jantung dan sistem saraf.
Sebagai figura awam yang berpengaruh, PHM menegaskan bahawa sebarang promosi oleh Siti boleh memberi kesan terhadap golongan muda yang mungkin tertarik untuk mencuba produk tersebut.
PHM turut menjelaskan bahawa Nicotine Pouch bukan produk berdaftar bagi rawatan ketagihan nikotin dan import serta penjualannya di Malaysia adalah dilarang.
Lebih penting, promosi produk ini bercanggah dengan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, yang melarang sebarang bentuk pengiklanan atau promosi berkaitan produk berasaskan nikotin tanpa kelulusan.
Sebarang pelanggaran akta ini boleh mengundang tindakan lanjut daripada pihak berkuasa. – MADANINEWS