2 lelaki miliki syabu ditahan

MUKAH – Dua lelaki warga tempatan ditahan polis pagi semalam kerana disyaki memiliki dadah jenis metamphetamine atau syabu dalam satu operasi di Jalan Mukah-Selangau.
Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah menahan sebuah kenderaan yang mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan, polis menjumpai satu keratan straw lutsinar mengandungi ketulan kristal dipercayai dadah jenis metamphetamine seberat 0.44 gram,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, pemandu kenderaan berusia 27 tahun dan seorang penumpang berusia 41 tahun ditahan sebelum dibawa ke IPD Mukah bersama barang kes untuk tindakan lanjut.
Menurut Muhamad Rizal, ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan metamphetamine.
“Mahkamah Majistret Mukah membenarkan suspek direman selama dua hari sehingga 28 Februari bagi membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama yang boleh membawa hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 serta pengawasan polis selama tiga tahun. – MADANI NEWS