Jangan cemar profesion kewartawanan dengan amalan rasuah - MCW | Madani News

Jangan cemar profesion kewartawanan dengan amalan rasuah – MCW

Jangan cemar profesion kewartawanan dengan amalan rasuah – MCW
Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) mengingatkan semua pengamal media agar berpegang teguh kepada prinsip integriti dan etika kewartawanan bagi mengelakkan diri daripada terjerumus dalam gejala rasuah ketika menjalankan tugas.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, MCW memandang serius penahanan seorang wartawan Malaysiakini yang dipercayai berkaitan dengan artikel mengenai dakwaan kartel warga Pakistan menyeludup pekerja migran ke Malaysia.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan, integriti dan etika kewartawanan adalah asas kepada kebebasan media.

Jais menambah, sekiranya dakwaan terhadap wartawan itu benar, ia bukan sahaja mencemarkan nama baik profesion kewartawanan tetapi juga mengkhianati kepercayaan masyarakat terhadap media sebagai pemantau ketelusan dan keadilan.

“Namun begitu, proses undang-undang yang adil perlu dijalankan, dan setiap individu berhak dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.

“Oleh itu, MCW menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan yang telus dan menyeluruh serta memastikan semua bukti dikumpulkan secara adil dan tanpa prejudis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, wartawan tersebut ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lewat malam tadi dan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk prosiding reman pagi tadi.

SPRM menjelaskan bahawa penahanan tersebut bukan disebabkan oleh artikel yang diterbitkan oleh Malaysiakini, sebaliknya susulan dakwaan bahawa wartawan berkenaan menerima rasuah sebanyak RM20,000 daripada seorang ejen pekerja migran.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, bayaran tersebut dipercayai dibuat bagi memastikan dua artikel mengenai ejen terbabit tidak diterbitkan. Laporan yang dibuat oleh ejen itu kemudiannya membawa kepada operasi penahanan oleh SPRM.

Pada masa yang sama, Jais menyeru pengamal media supaya sentiasa mematuhi kod etika kewartawanan dan menghindari sebarang bentuk rasuah atau penyalahgunaan kuasa.

“Kebebasan media datang dengan tanggungjawab besar, dan wartawan harus menjaga integriti dalam setiap laporan yang mereka hasilkan,” katanya.

Jais berkata, MCW akan terus memantau perkembangan kes itu dan berharap agar kebenaran dapat ditegakkan demi kepentingan awam serta menjaga integriti profesion kewartawanan di Malaysia. – MADANI NEWS