Nik Nazmi pertahan jawatan Naib Presiden PKR | Madani News

Nik Nazmi pertahan jawatan Naib Presiden PKR

Nik Nazmi pertahan jawatan Naib Presiden PKR
Nik Nazmi Nik Ahmad. Gambar: FB Nik Nazmi

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan beliau akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti tahun ini.

Beliau turut akan mempertahankan jawatan sebagai Ketua PKR Cabang Setiawangsa dalam pemilihan yang dijangka menjadi tumpuan bukan sahaja dalam kalangan ahli parti, tetapi juga pemerhati politik.

“Pemilihan PKR tahun ini bakal menjadi perhatian ramai kerana ia mencerminkan kesatuan dan kekuatan parti.

“Dalam kita meraikan demokrasi dalaman yang matang, persaingan ini perlu berlangsung dengan penuh adab, semangat setiakawan, serta fokus kepada agenda besar iaitu mengukuhkan PKR sebagai parti masa depan yang terus relevan dalam perjuangan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nik Nazmi turut mengumumkan sokongan PKR Cabang Setiawangsa agar Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai Presiden dan Datuk Seri Rafizi Ramli mengekalkan jawatan Timbalan Presiden dalam pemilihan kali ini.

Beliau menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh parti serta memperjuangkan dasar yang inklusif demi memastikan PKR kekal sebagai wadah utama dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat Malaysia. – MADANI NEWS