SPRM sita RM170 Juta, 16 kg jongkong emas susulan siasatan pegawai PM9

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menyita wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa serta 16 kilogram jongkong emas tulen bernilai hampir RM7 juta susulan siasatan terhadap empat pegawai kanan yang berkhidmat di bawah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut SPRM, siasatan dijalankan berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram melibatkan perbelanjaan serta perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa Ismail Sabri menerajui negara.
“Siasatan ini dibuat di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001,” kata SPRM dalam kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, Ismail Sabri telah diarahkan untuk membuat pengisytiharan harta di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 pada 11 Disember 2024, yang kemudiannya dibuat secara rasmi pada 10 Februari lalu.
Berdasarkan maklumat baharu dan hasil risikan, SPRM telah menahan empat pegawai kanan terbabit serta menjalankan pemeriksaan ke atas kediaman dan tiga premis lain yang dipercayai dijadikan tempat penyimpanan aset berkenaan.
Hasil penggeledahan di lokasi-lokasi tersebut membawa kepada rampasan wang tunai dalam pelbagai mata wang antaranya baht, riyal, pound sterling, won, euro, Swiss franc dan yuan, selain jongkong emas.
SPRM turut mengesahkan bahawa Ismail Sabri telah hadir ke pejabat suruhanjaya itu bagi memberikan keterangan pada 19 Februari lalu dan tidak menolak kemungkinan beliau akan dipanggil semula bagi membantu siasatan lanjut.
Dalam perkembangan berkaitan, hampir 10 saksi telah dikenal pasti dan akan dipanggil dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.
SPRM menegaskan bahawa siasatan dijalankan secara bebas, profesional, serta mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa dan komited memastikan sebarang salah laku berkaitan rasuah serta pengubahan wang haram ditangani dengan tegas demi kepentingan negara. – MADANI NEWS